Rakyat Malaysia pastinya sudah sedia maklum bahawa hari ini bermulanya udara dan nafas suasana baru khususnya di kedai-kedai makan di seluruh negara.
Ia susulan berkuat kuasanya peraturan dilarang merokok di premis tersebut.
Tinjauan Malaysiakini di sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan, mendapati, pengunjung kedai makan mulai patuh pada peraturan yang diperkenalkan kerajaan persekutuan itu.
Seorang peniaga, Rosli Mohamad, 40-an, berkata, beliau berpuas hati apabila rata-rata pelanggan yang datang ke kedainya mematuhi peraturan baru itu.
"Sepanjang kedai beroperasi hari ini, saya nampak pelanggan yang datang semua tak merokok. Tak seperti keadaan sebelum ini.
Boleh kena saman
"Alhamdulillah, sebagai peniaga saya rasa berpuas hati. Ini satu langkah baik yang diambil kerajaan hari ini," katanya.
Tambah Rosli, dia turut akan mengambil langkah untuk menasihati pelanggan sekiranya didapati merokok.
"Kalau pelanggan merokok di kedai ini, saya akan nasihat sebaiknya. Kalau mereka merokok, saya pun boleh kena saman. Saya juga sudah tak sediakan bekas abu rokok lagi bermula hari ini.
"Tanpa abu, asap dan puntung rokok di kawasan kedai makan saya rasa ia akan jadi lebih nyaman dan bersih," jelasnya.
Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua premis makanan di seluruh negara.
Pihak yang didapati melanggar larangan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun.
Harap berkekalan
Pemilik premis makanan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500.
Perokok bagaimanapun dibenarkan merokok 3 meter (kira-kira 10 kaki) dari premis makanan.
Bagi Che Ros Che Haron, 36, berkata, sebagai peniaga makanan dia menyambut baik peraturan baru tersebut.
Malah katanya, pelanggan yang datang ke kedai hari ini juga didapati tidak merokok.
"Mungkin golongan perokok ini sudah rasa malu atau takut dengan penguat kuasa untuk merokok di tempat larangan. Harap keadaan ini berkekalan sampai bila-bila," jelasnya yang mengusahakan gerai nasi berlauk di Kota Bharu.
Sementara itu, bagi pekerja swasta Azizi Abdullah, 28, berkata sebagai perokok dia akur dengan larangan tersebut.
"Rasa janggal sikit hari ini sebab tak boleh hisap rokok di kedai makan, selalu lepas makan hisap rokok dulu.
"Terpaksalah kita akur, kena sabarlah. Lepas makan kita cari lokasi lain untuk merokok, " ujarnya.