Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat disaran guna minyak sawit – Timb menteri
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Rakyat di negara ini disaran menggunakan minyak sawit dalam pelbagai bentuk dalam kehidupan seharian sebagai sokongan membantu kerajaan meningkatkan harga komoditi tersebut, kata Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata kementerian itu akan terus mempergiat promosi penggunaan minyak sawit dalam kalangan rakyat negara ini selain mengembangkan pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu di dalam dan luar negara.

"Kita berhadapan dengan cabaran yang cukup besar dalam usaha meningkatkan harga pelbagai komoditi negara, termasuk sawit kerana industri komoditi merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapataan negara, dan kedudukan harga komoditi terlibat bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi pekebun kecil, malah kepada negara.

"Justeru, kita mengharapkan sokongan masyarakat daripada pelbagai latar belakang pendapatan untuk terus menggunakan minyak sawit agar industri komoditi ini dapat terus dibangunkan supaya permintaan, tawaran dan harganya dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas Program Sambutan Tahun Baru 2019 di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa hampir dua jam melawat pengoperasi pusat kebajikan berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 55 warga pusat berkenaan yang berusia sembilan hingga 50 tahun.

Shamsul Iskandar berkata kerajaan menerusi kementerian berkenaan akan terus menjalin ikatan dengan pemegang kepentingan dalam industri sawit di pelbagai peringkat. termasuk pekebun kecil untuk bersama-sama melaksanakan langkah berkesan dalam meningkatkan harga komoditi berkenaan.

Beliau berkata antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menerusi pelaksanaan program Biodiesel B10 yang bertujuan meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit dan membantu mengurangkan lebihan stok dalam pasaran global bermula 1 Disember lepas.

Katanya syarikat berkaitan kerajaan di negara ini juga digesa memberi tumpuan mempromosi komoditi berkenaan menerusi penggunaan minyak sawit dalam setiap produk yang dihasilkan berbanding minyak lain kerana ia mengandungi anti oksida yang tinggi khususnya mencegah perkembangan sel kanser dan pelbagai manfaat lain selain mudah diperoleh di pasaran.

Katanya satu kajian terperinci sedang dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk mengenal pasti peratusan penggunaan komoditi itu dalam kalangan rakyat negara ini dan segmen atau sektor yang belum menggunakan bahan mentah itu.

"Kajian ini akan membantu kita mengatur strategi yang lebih teratur mengikut keperluan semasa dalam usaha mempromosikan komoditi ini secara lebih meluas pada masa akan datang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS