Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memegang kata-katanya mengenai persetujuan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam masa dua tahun selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14, kata seorang menteri kabinet.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kabinet akan membincangkan usul perwakilan pada perhimpunan agung Bersatu baru-baru ini supaya Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum ke-15.
“Itu kabinet kita akan bincang. Seperti mana Tun (Dr Mahathir Mohamad) katakan, dia dah ada satu persefahaman dengan Datuk Seri (Anwar Ibrahim). Tun akan memenuhi janji-janji yang dibuat dan saya sebahagian daripada pimpinan Pakatan yang menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.
“Saya yakin Tun akan lakukan seperti mana dia sebutkan. Tak ada masalah. Sampai waktunya kita akan lihat," kata Dzulkefly kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan ke Bandar Seri Permaisuri, di Cheras, hari ini.
Walaupun, Mahathir berulang kali menegaskan beliau akan berpegang kepada kata-katanya menyerahkan kuasa kepada Anwr dalam masa dua tahun, para pengkritik terus menyatakan keraguan mengenai hal itu.
Dzulkefly yang juga pemimpin Amanah berkata perwakilan Bersatu berhak menyatakan pendapatnya, manakala terdapat badan pembuatan keputusan di dalam PH yang juga perlu dihormati.
Rashid berhak atas pandangannya
Menurut Dzulkefly atas prinsip yang sama beliau enggan mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman menyentuh keperluan menggunakan sumber kerajaan untuk kekal berkuasa “dengan apa jua cara sekalipun.”
Dzulkefly menyifatkan hal ini sebagai isu dalaman Bersatu dan berkata Rashid berhak kepada pandangannya.
“Saya kira itu adalah perkara-perkar dalaman sebuah parti yang saya tak perlu komen. Mereka berhak menyatakan apa pun. This is a democracy.
Terdapat pertandingan idea dan semua ini dibuat dalam rangka mencapai beberapa polisi dalam parti mereka, saya tak mau komen sama ada ia benar atau salah.
“Dalam politik biasanya (persoalan) lebih kepada apa perkara yang sepatutnya daripada apa yang salah atau benar,” jelasnya
Kenyataan Rashid mendapat bidasan ramai pihak, seperti Bersih dan pemimpin PH, termasuk Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman.
Kabinet dijangka membincangkan hal ini pada mesyuarat pertamanya tahun ini, maklum dua menteri kepada Malaysiakini, awal hari ini .