Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO fail semakan kehakiman cabar larangan merokok

Sebuah NGO yang baru didaftarkan yang dinamakan Pertahankan Hak Perokok memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar larangan merokok di premis makanan seluruh negara yang berkuatkuasa esok.

Tujuh anggota pro-tem Pertahankan Hak Perokok - Mohd Hanizam Yunus, Mohd Laisani Abdullah dan lima lagi - menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden.

Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Tetuan Haniff Khatri hari ini.

Mereka memohon mahkamah membatalkan larangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan tersebut.

Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan larangan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta perintah larangan terhadap Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakannya.

Selain itu, mereka juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan larangan itu sehingga semakan kehakiman mereka didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Pertahankan Hak Perokok menyatakan asas bagi permohonan mereka antaranya adalah ia bertentangan dengan Perlembagaan memandangkan merokok bukan jenayah, dan mempunyai hak sama rata dengan golongan yang tidak merokok.

"Rakyat Malaysia yang merokok akan secara konstruktifnya diketepikan dan/atau didiskriminasikan daripada berkunjung dan/atau menikmati kemudahan premis makan dan menghabiskan masa mereka di sana kerana larangan tersebut," menurut permohonan itu.

Mereka juga mendakwa larangan itu tidak munasabah dan tidak adil kerana kerajaan sendiri tidak mengharamkan kegiatan itu dan mengutip cukai yang tinggi hasil jualan rokok.

Selain itu, mereka juga berkata kerajaan tidak memperuntukkan alternatif lain seperti kebenaran terhadap pengusaha premis makanan menggunakan budi bicara untuk menyediakan kawasan khas merokok di premis mereka.

Dalam afidavit sokongan oleh setiausaha pro-tem Laisani, beliau berkata telah membaca cadangan larangan itu di media dan mengarahkan peguam untuk menyemak hansard parlimen.

Menurutnya, tidak dinyatakan pihak kementerian ada mendapatkan pandangan perokok setelah larangan itu dicadangkan.

Justeru, katanya lagi, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan Pertahankan Hak Perokok yang didaftarkan pada 24 Disember lalu.

Katanya, peguam memberitahunya larangan merokok di premis makanan bertentangan dengan Perlembagaan memandangkan sejak 1993 hanya 23 kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok.

Antaranya hospital, institusi pengajian tinggi, stesen minyak dan pejabat kerajaan.

Tiada pertemuan

Beliau mendakwa walaupun perokok mematuhi larangan itu, kegiatan merokok sendiri bukanlah kesalahan jenayah dan didorong oleh kerajaan sendiri yang mengutip cukai hasil penjualannya.

Katanya, hasrat kerajaan untuk menjadikan semua premis makanan, termasuk yang tidak berpenghawa dingin, sebagai kawasan larangna merokok adalah tidak wajar kepada pelanggan yang merokok.

Beliau juga mendakwa kerajaan membuat larangan itu tanpa mengenal pasti lokasi untuk merokok.

Beliau juga menyebut contoh larangan di beberapa negara, misalnya Jepun yang membenarkan pengusaha restoran menyediakan kawasan khusus bagi pelanggan merokok, serta Hong Kong yang menyediakan alat untuk mengumpul abu dan puntung agar tidak dibuang merata-rata.

Laisani mendakwa beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menulis surat kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada 20 Disember untuk memohon satu pertemuan diadakan.

Namun, katanya lagi, tiada maklum balas daripada pihak Dzulkefly dan ia menyebabkan mereka memfailkan semakan kehakiman hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS