Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan telah menggariskan iltizam untuk parti itu bangkit kembali dan meneruskan perjuangannya dalam arena politik tanah air.
Dalam hantaran di Facebooknya, Mohamad yang memangku tugas-tugas presiden menggariskan iltizam membangunkan wibawa Umno sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani, memerangi politik wang, idea akan dijadikan modal politik dan menyemak kembali Agenda Melayu.
Beliau juga menggariskan hala tuju untuk membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.
“Umno mesti melupakan dahulu hajatnya untuk berkuasa semula dan kita hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.
“Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau ‘hijack’ keputusan Pilihan Raya Umum yang lepas. Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baharu dan ini tidak akan dikhianati oleh Umno,” katanya.
Beliau berkata Umno juga akan bertegas dalam memerangi politik wang yang bukan sahaja menjadi faktor kepada kekalahan parti itu tetapi menjadikan rakyat semakin lemah dan tidak berketahanan.
“Saya dan rakan-rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa yang tidak ingin bersama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana, atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan.
“Umno yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan Umno,” katanya.
Sementara itu, Mohamad menegaskan untuk membangunkan semula Umno akan mengambil masa memandangkan tiada rumusan yang mudah dan tepat yang boleh diambil untuk terus digunakan lantaran dinamik politik Malaysia dan global sangat deras berubah.
“Justeru saya meminta semua anggota Umno, rakan dan taulan, untuk bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku ini bersama-sama.
“Biar apa pun yang menanti di hadapan, kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Cuma, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas, tetapi yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia,” katanya.
- Bernama