AGM BERSATU | Namanya tidak jauh beza - Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Warnanya juga sama iaitu merah. Sebagai parti serpihan, kebanyakan anggota Bersatu pastinya datang daripada Umno.
Pada awal perhimpunan agung tahunan Bersatu Jumaat lalu, ramai menjangka ia akan berkisar tentang cabaran itu - dalam begitu banyak persamaan, bagaimana Bersatu ingin membezakan dirinya daripada Umno.
Namun selepas tiga hari berlangsung, terlihat satu lagi cabaran yang mendepani Bersatu untuk terus bergerak ke depan, iaitu tidak menjadi Umno.
Ia dapat dilihat dalam pertembungan dua golongan dalam parti - di satu kutub, golongan 'tua' yang masih dibayangi budaya lama Umno dan di satu kutub lagi golongan 'muda' yang tidak mahu sama sekali disamakan dengan parti itu.
Ironinya kemasukan anggota baru daripada Umno dibangkang hebat oleh sebahagian dalam parti itu atas sebab tidak mahu budaya itu menyusup ke dalam Bersatu.
Pertembungan dua golongan itu dapat dilihat jelas ketika sesi penggulungan ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan naib presiden Ab Rashid Ab Rahman.
Syed Saddiq dilihat berang apabila ada perwakilan yang secara terbuka menggesa kontrak kerajaan diberikan kepada anggota parti.
"Tengok Umno dulu pun tak berani bincang perkara seperti ini di khalayak umum. Mana maruah kita?"
Tidak lama kemudian, Ab Rahman - tanpa menyebut Syed Saddiq secara khusus - menyifatkan bantahan terhadap gesaan perwakilan itu sebagai "pandangan bodoh".
"Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook - dengan apa cara sekalipun - kita kena menang."
Kedua-duanya menerima sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.
Muda lawan tua
Pertembungan dua golongan itu juga terlihat dalam soal pengambilan pemimpin dan anggota Umno ke dalam parti itu.
Sementara perbahasan dibuat secara tertutup, isu yang dibahaskan dibangkitkan pemimpin ketika sesi penggulungan hari ini.
Kemasukan mereka dibimbangi meminggirkan pemimpin di kalangan golongan muda yang merangkumi 65 peratus keahlian parti.
Peminggiran bakat muda merupakan isu yang sering dikaitkan dengan Umno.
Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan kekecewaannya apabila mendapat aduan peminggiran ini telah berlaku dan berkata parti itu akan mengikut jejak langkah Umno jika ia berterusan.
Bagaimanapun kedua-dua golongan ini bersetuju dalam satu perkara - dan ia perkara yang membezakannya dengan Umno - iaitu agenda Melayu-Bumiptera perlu kekal sebagai asas perjuangan.
Namun ia bukanlah sama seperti apa yang turut dibawa Umno, sekurang-kurangnya dari segi retorik.
Tongkat yang berbeza
Jika ketika perhimpunan agung Umno retorik Ketuanan Melayu yang sering digunakan, perhimpunan Bersatu lebih menyebut kepada Melayu yang memerlukan.
Jika Umno melihat 'tongkat' sebagai pusaka yang tidak boleh dipersoal sama sekali, Bersatu melihatnya sebagai keperluan untuk membantu Melayu untuk berjalan. Apabila sudah mampu berlari, ia akhirnya tidak diperlukan lagi.
“Bagi yang lemah, tongkat boleh membantu. (Tapi) Bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan. Apabila sahaja kekuatan kembali tongkat perlu digugur,” kata Mahathir, yang konsisten mengatakannya sejak sedekad yang lepas.
Melihat kepada realiti politik, ia adalah pendekatan strategik.
Ia penting bagi meraih sokongan orang Melayu. Bersatu perlu memperjuangkan apa yang dikehendaki orang Melayu dan Bumiputera.
Jika tidak, sokongan Melayu akan dirampas dua parti yang kini dilihat semakin 'kanan' dalam politik Melayu iaitu Umno dan PAS.
Di saat Umno dan PAS memberi tumpuan kepada sokongan - atau dengan kata lain, undi - Melayu, Bersatu faham hakikat kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU lalu adalah hasil sokongan pelbagai kaum dan kedudukannya dalam gabungan tidak sama seperti Umno dalam BN.
Maka parti itu sentiasa berhati-hati untuk tidak menyinggung kaum lain dalam retorik Melayunya.
Ia realiti yang perlu didepani Bersatu, di tengah-tengah parti komponen dan penyokong PH dan cabaran yang dikemuka Umno dan PAS.
Laporan ini disediakan oleh M Fakhrull Halim