AGM BERSATU | Salah seorang perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mencadangkan agar jawatan perdana menteri yang disandang Dr Mahathir Mohamad dikekalkan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Menurut sumber, cadangan itu dibuat perwakilan Kelantan, Zulkifli Zakaria ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti, Muhyiddin Yassin.
"Ada orang cadang, tak adalah sampai lapan perwakilan yang cadang, tapi pertama sekali yang keluar daripada Kelantan.
"Ini kumpulan orang lama yang cadangkan," kata sumber itu kepada pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menamakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai pengganti Mahathir bagi jawatan perdana menteri.
Cadangan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya juga pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Bersatu Setiawangsa.
Bagaimanapun, pada 3 Nov lalu, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.
Sementara itu, bagi usul hari ini, ia disahkan oleh salah seorang Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu yang enggan namanya didedahkan.
Beliau bagaimanapun mengulangi pendirian Bersatu untuk menyokong peralihan kuasa yang telah dipersetujui sejak penubuhan PH.