Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M maafkan Lim Kok Wing
Diterbitkan:  Dec 29, 2018 6:38 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau memaafkan bekas pegawai strategik perhubungan awam Najib Razak, Lim Kok Wing yang pernah meminta agar beliau berhenti mengkritik kerajaan yang dipimpin BN ketika itu.

Mahathir mengakui bahawa sesetengah pihak yang hanya memberi sokongan padanya ketika beliau berkuasa.

"Kita tahu sesetengah orang cari jalan mudah... Dia sokong orang yang berkuasa.

"Masa saya tak ada kuasa, dia tak sokong. Lepas saya berkuasa balik, dia sokonglah," katanya mengulas tindakan anaknya Marina Mahathir yang membidas pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing hari ini.

Ketika ditanya adakah beliau memaafkan Lim, Mahathir hanya berkata: "Saya seorang yang sangat pemaaf."

Mahathir berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, dalam satu ciapan Twitter, Lim bermadah dengan bersetuju pandangan Mahathir berhubung usaha membina negara.

Bagaimanapun, ciapan berkenaan dibidas anak Marina Mahathir, yang merupakan anak perempuan perdana menteri itu.

Marina juga mempertikaikan tindakan Lim sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu yang membidas ayahnya agar "tutup mulut".

"Tolong hentikannya @limkokwing! Di mana anda tahun lalu? Siapa yang menyuruh bapa saya tutup mulut untuk menjaga legasinya?

"Jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang (dalam PRU ke-14), adakah anda akan datang ke rumah kami tanpa diundang pada Hari Raya untuk meminta maaf? Hentikan," tulis Marina.

Susulan itu, berdasarkan semakan Malaysiakini ketika berita ini ditulis, akaun Twitter Lim sudah dipadam.

Pada 2015, Mahathir pernah menulis di blognya mengenai seroang rakan yang bertukar menjadi musuh dan ia dipercayai merujuk kepada Lim.

Mahathir berkata, rakannya itu cuba memujuknya untuk berhenti mengkritik Najib yang ketika itu perdana menteri.

"Dia memberi amaran jika saya terus mengkritik, saya akan hilang legasi saya, saya beritahu apa yang orang fikirkan tentang legasi saya, adalah tidak penting. Saya bimbangkan apa yang terjadi di negara ini. Reputasi baik kita telah tercemar.

"Beliau mengulangi beberapa kali bahawa saya akan hilang legasi saya. Saya sangat menghargai kebimbangannya itu. Beliau merupakan seorang rakan dan beliau prihatin tentang saya. Kita berpisah sebagai kawan," kata Mahathir ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS