Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Marina bidas madah Lim Kok Wing puji Dr M
Diterbitkan:  Dec 29, 2018 4:26 PM
Dikemaskini: Jan 13, 2019 10:07 AM

Perkongsian Lim Kok Wing di Twitter berhubung pesanan Dr Mahathir Mohamad mendapat bidasan Marina Mahathir, yang juga merupakan anak perempuan perdana menteri itu.

Lim yang merupakan pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan pernah menjadi pegawai strategik perhubungan awam Najib Razak itu melalui satu ciapan berkata: "Betul kata Mahathir bahawa kita hanya perlu tetapkan di dalam minda dan hati kita untuk mencapai matlamat dan negara maju."

Marina kemudian mengecam ciapan berkenaan serta mempertikaikan tindakan Lim sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu yang membidas ayahnya agara "tutup mulut".

 "Tolong hentikannya @limkokwing! Di mana anda tahun lalu? Siapa yang menyuruh bapa saya tutup mulut untuk menjaga legasinya?

"Jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang (dalam PRU ke-14), adakah anda akan datang ke rumah kami tanpa diundang pada Hari Raya untuk meminta maaf? Hentikan," tulis Marina.

Beberapa pengguna Twitter yang memberi respons pertukaran ciapan antara Marina dan Lim itu turut menuduh Lim sebagai "pembodek". 

Dalam ciapan lain, Marina turut mendedahkan bahawa beliau terkejut apabila mendapati Lim berada di dapur rumahnya ketika rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Saya tak percaya apabila saya mendapati beliau (Lim) terhendap-hendap di dapur kami," tulisnya.

Pada 2015, Mahathir pernah menulis di blognya mengenai seroang rakan yang bertukar menjadi musuh dan ia dipercayai merujuk kepada Lim.

Mahathir berkata, rakannya itu cuba memujuknya untuk berhenti mengkritik Najib yang ketika itu perdana menteri.

"Dia memberi amaran jika saya terus mengkritik, saya akan hilang legasi saya, saya beritahu apa yang orang fikirkan tentang legasi saya, adalah tidak penting. Saya bimbangkan apa yang terjadi di negara ini. Reputasi baik kita telah tercemar.

"Beliau mengulangi beberapa kali bahawa saya akan hilang legasi saya. Saya sangat menghargai kebimbangannya itu. Beliau merupakan seorang rakan dan beliau prihatin tentang saya. Kita berpisah sebagai kawan," kata Mahathir ketika itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS