Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis bimbang keputusan Thailand benarkan ganja untuk perubatan

PDRM bimbang dengan keputusan kerajaan Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan dan kajian, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata, ini kerana keputusan itu boleh meningkatkan lagi kegiatan penyeludupan ganja ke Malaysia.

"Itu keputusan Thailand. Tetapi kekhuatiran kita apabila ia berlaku, semakin banyak ganja akan diseludup masuk ke negara kita.

"(Walaupun) ini spekulasi saja, kita tetap berusaha keras untuk tingkatkan kawalan di sempadan agar tak berlaku lambakan (ganja dan dadah lain)," katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 25 Disember lalu, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menjadikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi dilarang oleh undang-undang.

Thailand merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan perkara itu.

Ketika ditanya sama ada Malaysia juga akan mengikut langkah itu, Fuzi berkata polis sudah membincangkan perkara itu secara terperinci dengan kerajaan dan ia tidak akan dibenarkan.

"Polis sudah kemukakan pandangan dan kita tak setuju (dengan langkah tersebut) kerana ia hanya akan merumitkan lagi masalah penagihan dadah di negara ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS