Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno: Inkues hanya lambatkan keadilan untuk Adib
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 8:37 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan mempersoalkan tindakan kerajaan mengadakan inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau juga mempersoalkan tujuan inkues itu iaitu untuk "menyiasat punca kematian" yang berbeza dengan mengenal pasti pihak yang menyebabkan kematian Allahyarham.

Apatah lagi polis kini masih menyiasat kes kematian itu sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Adakah peguam negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan polis untuk melakukan tugas menyiasat kes bunuh ini?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan inkues itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Menerusi inkues itu, kata Muhyiddin, majistret mempunyai kuasa untuk memberi erti sebab kematian Adib, seperti bagaimana Allahyarham menemui ajal, dan sama ada ia berpunca atau dipercepatkan oleh "perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain".

Mohamad berkata lagi, polis perlu segera menyelesaikan siasatan dan pejabat peguam negara pula perlu tegas menentukan sama ada Adib dibunuh dan dalangnya menerusi hasil siasatan itu.

"...Bukan menggunakan prosiding inkues kematian oleh mahkamah bagi tujuan bagaimana arwah Adib meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya.

"Rakyat sekarang melihat sama ada kerajaan mematuhi kedaulatan undang-undang atau hanya menggunakan prosedur undang-undang bagi melengah-lengahkan keadilan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS