Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Apa yang jadi pada Umno sekarang sama macam PAS dulu'

Situasi dialami Umno buat masa ini sama seperti yang dihadapi PAS pada 2015, ketika pemimpin parti itu keluar PAS dan menubuhkan parti baru, Amanah, kata akar umbi Umno.

Ada yang berpendapat, tindakan anggota dan wakil rakyat Umno keluar parti merupakan proses pemulihan parti Melayu itu selepas menerima kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 14 (PRU14).

Timbalan Ketua Umno bahagian Klang Zainuri Zainal berkata, adalah lebih baik sekiranya Umno bersikap bersendiri tanpa menagih sokongan pelbagai pihak.

"Biarlah Umno itu 'stand alone', biar kita tumpu kepada parti kita dahulu. Jangan kita nak meraih sokongan pelbagai pihak, nak bersekutu dengan pihak lain juga.

"Penggal ini kita tak jadi kerajaan, tak apa. Inilah masanya kita nak buat keputusan penyucian semula. Kita kena ada pembaharuan semula, kena kaji balik apa yang menyebabkan rakyat tak sokong kita," katanya kepada Malaysiakini

Zainuri juga berkata penyucian parti perlu dilakukan kerana Umno tidak memerlukan talam dua muka. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengatakan parti Islam itu tidak akan bergabung dengan Umno kerana parti itu ibarat bahtera yang bocor.

Kenyataan Hadi pada 25 Disember itu dipercayai dibuat berikutan tindakan anggota dan wakil rakyat Umno keluar parti baru-baru ini.

Pada 12 Disember, 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan Umno Sabah keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Enam lagi ahli parlimen parti itu keluar parti dua hari kemudiannya.

Peluang buat orang baharu

Naib Ketua Umno bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim juga sependapat dengan Zainuri.

Malah, Ahmad Faisal menyifatkan ia satu kebaikan apabila pemimpin Umno ini keluar dari parti kerana secara tidak langsung memberi peluang kepada muka baharu menjawat jawatan dalam pimpinan terutama di peringkat Umno bahagian.

"Kalau nak kata bahtera dah bocor, dulu PAS pun bahtera dah bocor juga. Berapa ramai orang dah keluar, Mat Sabu (Mohamad Sabu), Salahuddin Ayub, Khalid Samad. Semua yang popular dah keluar.

"Tapi tak karam pun. Elok saja. Sama juga macam Umno," katanya.

Ahmad Faisal Abdul Karim 

Bagaimanapun, Faisal tidak bersetuju apabila mengatakan ia satu proses pemulihan untuk Umno kerana berpendapat mereka yang keluar daripada parti itu adalah bersih dan tidak korup.

"Cuma mereka keluar sebab mereka ini dah pegang jawatan ketua bahagian sudah begitu lama. Tindakan keluar itu sebagai platform untuk orang baru ambil alih dan tadbir.

"Sebelum ini, ramai pemimpin Umno dan terutamanya pemimpin muda beritahu mereka tak ada peluang (dapat jawatan). Yang ni satu kebaikan juga kepada Umno," katanya.

Namun, baginya, Umno dan PAS tidak akan bergabung sebagai satu parti politik, tapi memerlukan sokongan sesama sendiri dalam isu Melayu dan Islam.

Katanya, Umno memerlukan satu gabungan yang kuat untuk bertanding pada PRU15, sambil memberi contoh himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 8 Disember lalu.

Armand Azha Abu Hanifah 

Sebagai Ketua Umno bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifah berkata beliau mengambil pandangan Hadi mengenai Umno itu sebagai kritikan positif supaya parti itu dapat dibaiki semula seperti dahulu.

"Saya mengambil sudut pandangan yang berbeza dan positif. Umno kini terbuka untuk menerima pandangan, cadangan mahupun kritikan daripada mana-mana pihak untuk memperbaiki parti selepas PRU14.

"Umno kini dalam proses pemutihan secara organik di mana boleh kita lihat beberapa ahli Parlimen Umno bertindak keluar parti. Sebagai salah seorang pemimpin muda dalam Umno, saya lihat ini adalah peluang dan ruang bagi parti melaksanakan transformasi parti serta memberi peluang pada muka-muka baru untuk mengambil tanggungjawab penting dalam Umno," katanya.

Umno perlu sokongan PAS

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno cawangan Rampai Town Shahrizan Mustapa pula berkata beliau tidak menafikan bahawa parti yang berusia 72 tahun itu sememangnya memerlukan sokongan PAS bagi menguatkan barisan pembangkang.

"Tapi sekarang ni mereka tak nak bergabung sebab dalam Umno ni memang haru-biru. Kepimpinan tengah ada masalah - dengan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) ada kes mahkamah, dengan Timbalan Presiden (Mohamad Hasan) yang memangku jawatan presiden sekarang ni pun tak ada aura menyatukan balik.

"Mereka (pemimpin Umno) perlu tahu apa rakyat mahukan. Bila PRU13 sebelum ini, menang tipis, mereka patut buat semak, apa dan mengapa rakyat marah dengan kerajaan (terdahulu)," katanya.

PRU14 pada 9 Mei lalu menyaksikan kekalahan BN selepas rakyat menolak gabungan parti yang telah mentadbir lebih daripada enam dekad itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS