Umno kini sedang melaksanakan program pemutihan dan kemaskini data keanggotaannya diseluruh negara dan dijangka siap menjelang akhir Disember ini.
Setiausaha agungnya, Annuar Musa berkata langkah tersebut diambil bagi mengeluar dan membatalkan senarai keahlian mereka yang sudah meninggal dunia, gagal dikesan dan anggota yang tidak lagi bersama Umno.
"Proses ini akan menjadikan Umno lebih bersih, kemas dan tersusun. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga akan memutuskan jadual mesyuarat agung cawangan dan persidangan perwakilan bahagian bagi tahun 2019 tak lama lagi bagi menepati syarat dan peraturan perlembagaan parti dan Pendaftar Pertubuhan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh, Umno yang kini dipimpin Mohames Hassan juga akan menumpukan usaha memantapkan srtuktur dan organisasi 191 bahagian dan 22,000 cawangan parti itu di seluruh negara.
"Seluruh saf pimpinan semua peringkat dan sayap di seru memberi fokus secara bersepadu bersama pucuk pimpinan untuk membina jati diri perjuangan dan organisasi Umno yang lebih perkasa, mantap serta membuat persiapan paling rapi dan bangkit bersama rakyat kearah menghadapi PRU 15," katanya.