Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan permohonan syarikat perubatan yang mahu menggunakan ganja dalam perubatan dengan syarat syarikat tersebut mampu membuktikan bahan itu selamat dan berkesan.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, syarikat perubatan perlu membuktikan hal itu melalui kajian sendiri dan bukan merujuk kajian luar.
“Apabila kita mahu import ubat, yang penting kita tidak boleh guna kajian luar. (Sebaliknya) Kita perlu berpandukan kepada dos yang dibenarkan dalam kajian (sendiri) itu.
“Jadi apabila syarikat perubatan mahu menggunakan marijuana sebagai ubat, mereka harus menghantar beberapa maklumat (hasil kajian sendiri) bagi membuktikan beberapa perkara.
"Nombor satu, adakah ia selamat dan berkesan? Sekiranya berjaya dibuktikan untuk digunakan dalam keadaan tertentu, kita akan mempertimbangkan berdasarkan indikasi tertentu,” katanya seperti dilaporkan media.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan Thailand yang membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan dan kajian.
Selasa lalu, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menjadikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.
Dengan keputusan itu, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meluluskan undang-undang demikian.