Kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.
Usul untuk pindaan tersebut diluluskan oleh Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA) Thailand pada Selasa lalu setelah mendapat 166 undi yang menyokong dengan 13 undi berkecuali dan tiada yang menentang.
Dengan pindaan tersebut, jawatankuasa kawalan narkotik mempunyai kuasa untuk membenarkan pemilikan, pengeluaran, penggunaan, import dan eksport ganja dan ketum, serta undang-undang (regulations) yang berkaitan dengannya.
“Ini adalah hadiah tahun baru daripada NLA kepada kerajaan dan rakyat Thai,” kata Somchai Sawangkarn, pengerusi jawatankuasa penggubalan tersebut, seperti dilaporkan oleh Al-Jazeera.
Kebenaran tersebut tertakluk pada penggunaan ganja dan ketum untuk tujuan perubatan, rawatan pesakit, kajian dan penyelidikan, pertanian, perdangangan, sains dan juga industri.
Amaun tertentu pengguna
Bagaimanapun, pengguna masih boleh membawa amaun tertentu produk tersebut bagi tujuan rawatan penyakit sekiranya mereka mempunyai preskripsi daripada golongan profesional dalam bidang tertentu.
Amaun pemilikan dadah tersebut pula tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa kawalan narkotik, lapor Bangkok Post.
Sementara itu, lesen untuk penggunaan ganja dan ketum pula adalah untuk organisasi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap penyelidikan dan pendidikan dalam bidang perubatan serta pertanian, selain organisasi kawalan narkotik (narcotics suppression).
Organisasi lain yang terlibat adalah Persatuan Palang Merah Thailand, profesyen perubatan orang asli dan tradisional, universiti perubatan, organisasi petani berasaskan komuniti yang berdaftar, pengendali pengangkutan antarabangsa, serta pesakit yang melakukan perjalanan antarabangsa- yang perlu membawa narkotik dan bahan-bahan yang dibenarkan oleh kementerian kesihatan awam Thailand.
Sesiapa yang didapati melangar undang-undang boleh dihukum penjara antara lima hingga 15 tahun, dan/ atau denda sehingga 1 juta baht, bergantung pada jumlah ganja dan ketum yang dimiliki secara haram.
Pindaan itu hanya akan sah menjadi undang-undang setelah ia diwartakan dalam Warta Kerajaan.