Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Siapa lebih berkuasa - anak Hadi atau setiausaha agung PAS?'
Diterbitkan:  Dec 26, 2018 11:50 AM
Dikemaskini: 4:16 AM

Pemimpin DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada amaran Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi terhadap umat Islam supaya tidak membuat ucapan Krismas di Facebook  kerana bertentangan dengan ajaran Islam adalah pendirian parti atau pandangan peribadinya sendiri.

Lim merujuk kenyataan Khalil bahawa merayakan Krismas adalah melibatkan perbuatan mensyirikkan Allah dan bertentangan dengan akidah Islam.

Selain itu, Khalil turut mengingatkan agar umat Islam tidak sewenang-wenangnya menulis status ucapan di Facebook kerana ia seolah-olah menunjukkan keredhaan terhadap agama itu.

“Soalan ini timbul selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat ucapan Krismas, meskipun Khalil mengeluarkan peringatan tersebut.

“Siapakah yang mempunyai kuasa lebih besar dalam PAS - Setiausaha Agung PAS atau Ketua Pemuda PAS yang juga anak Presiden PAS?,” kata Lim dalam kenyataanya, hari ini.

Memandangkan terdapat dua pendapat yang bercanggah, Lim juga mempersoalkan pendirian presiden PAS Abdul Hadi Awang, Murshidul Am PAS, Hashim Jasin, serta majlis syura parti mengenai isu itu.

Selain pemimpin PAS, Lim juga memetik nama pemimpin Islam terkemuka negara dan seluruh dunia termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Ucapan itu termasuk juga datangnya dari Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultanahnya, Raja Zarith Sultan Idris Shah dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Adakah mereka bukan orang Islam sejati kerana membuat ucapan Krismas,” soal Lim.

Berikutan kritikan di media sosial berkaitan amaran Khalil, Lim berkata Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari cuba mengalih perhatian dengan mendakwa "Amanat Kit Siang lebih berbahaya daripada Amanat Hadi."

“Saya sendiri tidak tahu akan kewujudan “Amanat Kit Siang”; dan kedua, kira-kira 15 tahun selepas Hadi menyifatkan saya sebagai "ubat habis tempoh", saya masih berdiri di sini dan dikatakan membawa "Amanat Kit Siang".

“Adakah Pemimpin PAS tersebut ada terlebih dahulu meminta nasihat daripada Hadi sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana boleh membuatkan Presiden PAS berkenaan dilihat dungu kerana pernah mengatakan yang saya tidak lagi relevan pada 15 tahun lalu!,” katanya.

Menurut Lim lagi, muslihat sedemikian tidak boleh menutup hakikat bahawa kepimpinan PAS gagal menjawab banyak persoalan penting yang berbangkit antaranya berkaitan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)

Lim memetik kenyataan Abdul Hadi bahawa semua orang Islam harus menentang ratifikasi ICERD kerana mendakwa ia adalah agenda Freemason dengan niat untuk memusnahkan agama, negara dan masyarakat Islam.

Bagaimanapun Lim berkata kira-kira 99 peratus daripada 1.3 bilion orang Islam di dunia tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Palestin, Algeria, Maghribi, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

“Adakah PAS mahu menjadi penyelamat orang Islam di dunia, termasuk orang Islam di negara Arab Saudi, dan melancarkan kempen antarabangsa bagi mendesak 1.3 bilion orang Islam menentang ICERD.

“Adalah mengecewakan apabila begitu ramai pemimpian PAS menunjukkan set minda primitif - seperti Ulama PAS Selangor yang berkongsi video kugiran pop (kumpulan Seventeen) Indonesia sejurus sebelum bencana tsunami membadai negara itu,” katanya.

Justeru, Lim mengingatkan pemumpin PAS belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan membaca daripada artikel yang ditulis oleh Fa Abdul dan disiarkan di Malaysiakini bertajuk “My first Sunday mass before Christmas” berkaitan nilai murni bersama rakan beragama Kristian.

“Kerana jelas apa yang kurang dalam kalangan pemimpin PAS adalah kasih sayang,” kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS