Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan diberi tempoh 40 hari pecat Waythamoorthy

Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) memberi tempoh 40 hari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memenuhi tujuh tuntutan mereka.

Tuntutan itu dinyatakan pada himpunan menuntut keadilan untuk anggota bomba yang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan P Waythamoorthy yang diadakan di Dataran Seni Klang, hari ini.

Antara tuntutan itu ialah pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan yang disifatkan menjadi penumbang berlakunya rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman 25 dan 26 Nov lalu.

Bercakap di hadapan 2,000 peserta himpunan itu, Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras), Abu Bakar Mohamed berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Kita desak petualang ini (Waythamoorthy) supaya dia letak jawatan. Layak ke dia jadi menteri perpaduan? Layak ke?.

"Jadi, kita beri tempoh 40 hari kepada kerajaan untuk memenuhi tujuh tuntutan ini, demi perpaduan negara serta keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib," katanya.

Selain Waythamoorthy, Geras juga turut mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau turut disingkirkan kerana didakwa turut terbabit "mengapikan" isu rusuhan kuil berkenaan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis lalu, selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa.

Allahyarham merupakan anggota bomba yang cedera parah akibat dipukul perusuh pada hari kedua rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

Perhimpunan yang dijadualkan bermula jam 4 petang itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Perserta terlebih dulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang dan menunaikan silat Asar secara berjemaah.

Selepas itu, mereka melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah buat arwah Muhamad Adib sebelum berarak ke Dataran Seni.

Peserta kemudiaanya berarak kira-kira 200 meter dengan laungan selawat dan takbir.

Perarakan bermula kira-kira jam 5.15 petang dengan pemantauan polis. 

Beberapa peserta dilihat membawa sepanduk sementara beberapa pemimpin utama Geras dilihat mengenakan pakaian tradisional dan pendekar Melayu.

Sementara itu Setiausaha Geras Wan Asshima Kamaruddin ketika berucap mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib.

"Mengapa kes-kes sebelum ini mudah saja tubuhkan RCI, tetapi untuk kes Muhammad Adib tidak ditubuhkan?

"Sebab itu kita anjurkan himpunan ini dan (kita) akan terus desak tuntutan kita dibawa hingga ke parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS