Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga minyak: Rafizi puji Lim bertindak pantas
Diterbitkan:  Dec 24, 2018 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Rafizi Ramli mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menurutnya cepat bertindak selepas kerajaan dikritik berhubung dasar penetapan harga petrol di saat harga minyak mentah global menurun.

Semalam, beliau menggesa kerajaan melaksanakan semula sistem apungan harga minyak secara mingguan selepas harga minyak mentah global menurun di bawah paras AS$55 setong.

Dalam surat kepada Lim yang turut disiarkan di laman Facebooknya itu, beliau berkata sistem itu antara lain lebih selari dengan keadaan pasaran semasa.

Hari ini, Lim berkata kerajaan akan kembali melaksanakan sistem itu bermula tahun depan.

Beliau berkata ia sejajar dengan trend penurunan harga minyak global dan penetapan harga secara bulanan hanya memberi kelebihan kepada pengguna di saat sebaliknya - iaitu ketika harga minyak global meningkat.

 

"Tahniah Lim - cepat bertindak. InsyaAllah harga RON95 untuk Januari ini sekitar RM1.90 seliter dan kalau harga minyak mentah turun lagi, ia akan turun secara mingguan," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Kaedah itu sama seperti digunakan pentadbiran BN tetapi dengan satu perbezaan - penetapan harga siling RM2.20 seliter bagi RON95 menerusi subsidi.

Ia harga yang ditetapkan sejak Mac lalu ketika harga minyak mentah global pada kadar AS69$ setong.

"Ini kaedah terbaik - semak secara mingguan agar jika harga (minyak global) turun, rakyat akan dapat serta-merta.

"Dan sediakan subsidi supaya rakyat dilindungi dan cuma bayar RM2.20 seliter jika harga naik mendadak," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS