Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sepatutnya membantu Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dan bukannya dengan mengkritik gabungan itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof.
“Rafizi bijak, tetapi beliau perlu membantu PH mentadbir negara ke arah yang lebih baik, bukannya menidakkan kami,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian mengulas artikel Rafizi yang mengatakan populariti Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan persekutuan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih jatuh merudum, berbanding di awal pentadbiran.
Rafizi yang juga bekas naib presiden PKR berkata, kaji selidik dijalankan Invoke Malaysia menunjukkan populariti Mahathir menjunam kepada 53 peratus sahaja berbanding 72 peratus pada Jun lalu.
"PH tidak akan berjaya menjadi lebih Melayu dari Umno atau lebih berpolitik Islam dari PAS. Faham perkauman dan politik Islam itu adalah jenama Umno dan PAS, sedangkan platform ekonomi itu adalah kekuatan kita.
"Keputusan PRU14 membenarkan hujah saya ini.
"Walaupun PH memberi ruang kepada Bersatu untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh Melayu (kerusi terbanyak diberikan kepada Bersatu, pengerusi negeri juga banyak diberikan kepada Bersatu walaupun parti itu paling muda dalam PH), strategi jaguh Melayu itu tidak membawa undi Melayu yang besar kepada PH," tulis Rafizi baru-baru ini.
'Lihat gambaran besar'
Redzuan berkata Rafizi perlu melihat gambaran besar yang sedang dihadapi PH, terutama sekali kerana Rafizi mewakili parti utama dalam gabungan PH.
Tambahnya, bancian yang dipetik oleh bekas Ahli Parlimen Pandan bahawa populariti Mahathir merosot selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei bukanlah petunjuk kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Anda tidak boleh memuaskan hati semua orang.
“Ramai yang tidak gembira dan keadaan ini boleh difahami berikutan harapan yang tinggi kepada kerajaan. Perubahan tidak boleh dilakukan sekelip mata,” katanya.
Redzuan mengingatkan Rafizi bahawa populariti seseorang pemimpin biasanya tinggi apabila ekonomi negara baik.
“Anda perlu lihat pada titik di mana Tun Mahathir bermula. Beliau sedang mengutip puing-puing yang bertaburan, jadi berikannya sedikit masa,” kata beliau.