Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selama 61 tahun Negeri Sembilan diterajui kerajaan Barisan Nasional (BN), namun keadaan itu berubah pada 9 Mei lepas yang menyaksikan negeri ini buat pertama kalinya dalam sejarah bertukar kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

BN Negeri Sembilan yang diterajui Datuk Seri Mohamad Hasan, atau mesra dengan panggilan Tok Mat, tidak mampu menolak gelombang pengundi yang dambakan perubahan kepimpinan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Keputusan PRU14 menyaksikan PH memenangi lima kerusi Parlimen, pertambahan dua kerusi berbanding PRU13.

Daripada keseluruhan lapan kerusi Parlimen di negeri ini, PH berjaya mengekalkan Seremban, Rasah dan Port Dickson serta merampas kerusi Kuala Pilah dan Tampin yang sebelum ini dikuasai BN, manakala BN pula hanya mampu mengekalkan kerusi Parlimen Jempol, Rembau dan Jelebu.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi, iaitu 11 dimenangi DAP, PKR enam kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan tiga kerusi manakala BN memenangi 16 kerusi, merosot sebanyak enam kerusi berbanding 22 kerusi pada PRU13.

Pada 12 Mei lepas, Pengerusi PH negeri yang juga Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kelapan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Selain itu, Negeri Sembilan turut menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson diadakan iaitu lima bulan selepas berlangsungnya PRU14 berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Walaupun ditentang enam pencabar lain termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket bebas dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Anwar membuktikan dirinya masih berbisa walaupun telah lama tidak aktif dalam politik dan menang dengan majoriti besar 23,560 dalam PRK itu pada 13 Okt lepas.

Selain Mohd Isa dan Mohd Saiful Bukhari, Anwar turut menerima tentangan daripada calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Selain itu, senario politik Negeri Sembilan tidak pernah sunyi selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Nov lepas memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal dan memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN itu diadakan serta-merta.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram yang merupakan calon PKR bagi kerusi berkenaan dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad yang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai responden pertama; Amino Agus Suyub Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Pada 29 Nov lepas, Mohamad memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Selain itu, turut mencuri perhatian ialah pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Sept lepas atas nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai antara satu cara menyelesaikan masalah dalaman parti di negeri itu yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.

Susulan itu, bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dan dibantu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith sebagai Timbalannya untuk menggalas tugas yang diamanahkan pucuk pimpinan parti untuk menyusun semula parti itu.

Selain itu, Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt lepas memutuskan pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembillan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Romah Mansor ditarik balik serta-merta.

Pendaftar Darjah, Dr Razali Ab Malik dalam kenyataan berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) kepada Najib pada tahun 2005 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.5 bertarikh 2 Mac 2006 dan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) yang dikurniakan kepada Rosmah pada tahun 2006 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.23 Tambahan 1 bertarikh 9 Nov 2006

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS