Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Henti berbalah, tumpu isu kos sara hidup
Diterbitkan:  Dec 22, 2018 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Ketika pemimpin Pakatan Harapan dilihat saling mengkritik sesama sendiri secara terbuka, ketua umumnya, Anwar Ibrahim tampil menggesa perbalahan dihentikan.

"Pemimpin-pemimpin perlu meredakan suasana dan mengelak dari kenyataan-kenyataan negatif.

"Perbalahan terbuka sama ada di antara atau di dalam parti perlu dihentikan segera.

"Pada masa yang sama, saya gesa agar muafakat PH perkukuh melalui saluran parti," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Jelas presiden PKR itu, pemimpin PH perlu memberikan tumpuan ke pada isu kos sara hidup.

"Memahami keadaan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat, saya menggesa agar semua pemimpin PH memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat," katanya.

Anwar dalam kenyataannya turut mengingatkan bahawa rakyat sentiasa memerhati mereka.

"Kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan PH benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara," katanya.

Sejak minggu lalu, beberapa pemimpin PH dilihat sering berbalas kritikan dan yang terbaru melibatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ramasamy mengkritik tindakan menteri belia dan sukan itu yang mempertahankan hak Pemuda Bersatu menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy meletakkan jawatan.

Kedua-duanya saling berbalas serangan melalui media, dengan Syed Saddiq mempertahankan haknya untuk bersuara. 

Ramasamy pula menuntut Syed Saddiq mengemukakan bukti dakwaan bahawa Waythamoorthy memainkan peranan dalam mencetuskan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Untuk rekod, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda turut menyatakan tuntutan agara Waythamoorthy untuk digantikan dengan Nurul Izzah Anwar daripada PKR.

Dalam perkembangan berasingan, Anggota Parlimen PKR Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah meletakkan jawatan selepas bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya mempertikaikan pelantikan pengerusi PKR negeri yang didakwa mempunyai unsur "kronisme".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS