Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq ada 'kelas', puji Dr Asri
Diterbitkan:  Dec 22, 2018 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin memuji keberanian Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan tindakan sayap parti itu dalam menuntut P Waythamoorthy berundur sebagai menteri perpaduan.

Tuntutan itu dibuat sebelum ini oleh Pemuda Bersatu berikutan rusuhan kuil Sri Mariamman di USJ 25, bulan lalu.

"Ada class (kelas)," kata Asri ketika berkongsi pautan berita Malaysiakini bertajuk 'Desak Waytha berundur: Syed Saddiq jawab Ramasamy' di laman sosial Facebooknya.

Syed Saddiq sebelum ini memberi amaran kepada bekas Naib Pengerusi DAP P Ramasamy bahawa Pemuda Bersatu tidak akan berdiam diri dalam menyuarakan pandangan mereka.

Ini selepas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu membidas Pemuda Bersatu kerana menuntut Waytha meletakkan jawatan.

Menurut Ramasamy, desakan itu menghina kebijaksanaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang melantik Waytha selain mendesak tindakan dikenakan terhadap Syed Saddiq.

'Bukan nak 'play safe'

Bagaimanapun Syed Saddiq yang juga anggota parlimen Muar berkata beliau tidak akan meminta maaf dalam menyuarakan pandangannya apatah lagi memekakkan teliga terhadap suara rakyat.

"Saya tidak masuk politik untuk 'play safe'. Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. 

"Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara," katanya dalam satu kenyataan.

Waythamoorthy sebelum ini menerima tekanan pelbagai pihak untuk berundur disebabkan tindakannya menyalahkan pihak polis dalam insiden pencerobohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 pada 26 November lalu.

Sehari selepas itu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh yang bertindak balas.

Muhammad Adib ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Allahyarham menghembuskan nafas pada 17 Dis lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa di hospital.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS