Penyokong setia Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan hari ini mendakwa terdapat perancangan untuk menggulingkan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
"Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.
"Namun, puak-puak 'tahi kucing' ini terlalu kerdil bagi saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.
"Mereka ini 'pot tin' kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kritikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Johari Abdul terhadap Mahathir yang didakwa seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu.
Johari semalam turut berkata kegagalan memahami konsep Malaysia baru menyebabkan kerajaan PH kini seolah-olah mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu dan sekali gus menyebabkan rakyat kecewa.
Johari turut menggesa Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai 'pencuri' sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah.
“Dr Mahathir hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan," kata Johari.
'Jangan kurang ajar dengan PM'
Mengulas lanjut Khairuddin meminta pihak yang gemar mengkritik perdana menteri supaya tidak bersikap 'kurang ajar' dan tidak melebih-lebih dalam mengeluarkan kenyataan.
"Kalangan yang tidak mahu mengiktiraf kerja kuat Tun Dr Mahathir tolong jangan 'kurang ajar' dan usah melebih sangat.
"Perdana menteri yang sedang bertungkus lumus siang dan malam untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi memerlukan sokongan padu dari semua pihak.
"Ini bukan kerja perdana menteri seorang diri. Ia adalah tanggungjawab serta tindakan kolektif dari semua pihak dalam Pakatan Harapan," katanya.
Katanya, lawatan Mahathir ke luar negara juga bukanlah kerana bercuti sebaliknya untuk mendapatkan keyakinan dunia luar selepas imej negara yang tercemar dengan tindakan bekas perdana menteri Najib Razak.
Tegas Khairuddin, Mahathir tidak bertindak sendirian sebaliknya segala keputusan dibuat melalui sistem musyawarah dengan menteri-menteri PH yang lain.
"Janganlah suka buat andaian yang tidak berasas, Jangan sama sekali buat tuduhan melulu, niat dan motif mereka sudah pun diketahui.
"Sekarang adalah untuk semua pihak dalam Pakatan Harapan bekerja keras bagi menggalas tanggunjawab membela bangsa, agama dan tanahair. Kita baru menang PRU 14 dan bukan masa untuk berbalah bagi berebut jawatan," katanya.