Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khas berjumlah RM77 juta untuk membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak bagi tahun ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan bantuan diberikan kepada mereka, susulan masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun ini.
"Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan tahun 2018 sebanyak RM77 juta kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Felda," kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim, bantuan itu diperuntukkan untuk tiga bayaran iaitu:
- Bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta melibatkan waris kepada 120 peneroka yang telah meninggal dunia.
- Bayaran tunggakan berjumlah RM43 juta kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka.
- Bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk 38,000 peneroka.
Pada 10 Disember lalu, Mahathir dalam satu acara meminta Lim merangka rancangan untuk membantu beberapa golongan yang terkesan dengan kos sara hidup, dalam masa terdekat.