Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: Bak Liverpool, PAS sikit lagi 'rangkul kejuaraan'
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 4:12 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Politik dan sukan adalah dua bidang berbeza, tetapi bagi Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, situasi dihadapi partinya itu juga boleh digambarkan seperti potensi kelab bola sepak England, Liverpool.

Dalam satu ulasan mengenai tanggapan orang ramai terhadap PAS, Nik Mohamad Abduh menggunakan Facebook sebagai medan untuknya memberi penjelasan.

Ditanya mengenai nasib PAS untuk menawan Putrajaya, Nik Mohamad Abduh berkata ia sudah hampir tercapai tidak lama lagi.

"Jika dikatakan PAS tidak akan berjaya ke Putrajaya, PAS berkata, semua parti besar - malah yang kecil - sudah pun sampai ke Putrajaya.

"PAS adalah (parti) selepas ini kerana tiada lagi parti yang menunggu (untuk ke Putrajaya). Selangkah lagi.

"Tunggu. Saya bersama anda menunggu. Setia itu chill chill," katanya secara bersahaja.

Nik Mohamad Abduh juga rupa-rupanya kini menjadi penyokong The Reds.

"Sabarlah, tapi saya sendiri pun dah tak sabar menunggu Liverpool merangkul trofi liga," katanya.

Ajak buat bandingan

Anggota parlimen Bachok itu memberi gambaran bahawa Liverpool hanya menunggu masa untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana England selepas menduduki tangga teratas liga ketika ini.

Pada perlawanan berdepan Manchester United di Anfield hujung minggu lalu, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu menang dengan jaringan 3-1.

Untuk rekod setiap pasukan Liga Perdana Inggeris perlu melalui 38 perlawanan bagi setiap musim. Ketika ini baru turun sebanyak 17 kali.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh berkata pendirian politik PAS adalah jelas iaitu Islam yang sempurna adalah penyelesaian untuk negara.

"Islam sebagaimana para ulama ramai yang muktabar (terpercaya) memahaminya berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Ia adalah Islam yang rabbani, komprehensif, sederhana, adil, rahmatan, anjal dan segala sifat mulia yang menggambarkan keaslian dan kesempurnaannya sebagaimana ia dimahukan oleh Allah yang telah menurunkan dan meredainya untuk umat manusia.

"Jika dikatakan, Islam tidak sesuai untuk Malaysia, PAS menjawab, Islamlah yang paling sesuai untuk negara. Marilah berhujah.

"Jika dikatakan, PAS tidak layak untuk membawa mesej Islam, PAS berkata, kemukakan parti mana yang lebih layak? Marilah bandingkan," jelasnya.

Anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarhan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, jika dikatakan Kelantan dan Terengganu bukan model yang baik untuk perlaksanaan Islam, pihak yang tidak bersetuju diminta menunjukkan negeri lain yang boleh menjadi model untuk Islam.

"Mari saling buktikan.

"Jika dikatakan PAS memecah-belahkan umat, PAS berkata, parti mana sekarang boleh menyatukan umat di atas agama Islam? Tunjukkan kalau ada?

"Jika dikatakan, PAS terlalu keras, PAS menjawab, ketika PKR dulu baru menapak, PAS temankan. Begitu juga sebelumnya dengan Semangat 46 (Ku Li). Sekarang ketika Umno kesakitan, PAS menemani. Di mana keras PAS?" soalnya.

Tambah Nik Abduh, jika dikatakan PAS menakutkan bukan Islam, PAS berkata, DAP dan sekutu agungnya Amanahlah yang menakutkan mereka dengan PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS