Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mencadangkan agar bekas presiden Umno, Najib Razak dilantik sebagai ketua pembangkang ketika Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada jawatan presiden parti.
Beliau juga mahu Najib menjadi pemimpin de facto Umno dalam tempoh sekarang.
"Dalam situasi kritikal begini, Umno perlu khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman dan dihormati oleh anggota-anggota Parlimen BN yang masih belum melompat
"Atas dasar itu, selaku anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno saya mencadangkan agar Datuk Seri Presiden Umno, melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua umum Umno dan ketua pembangkang, sementara presiden Umno bercuti," kata Lokman dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan ini sangat penting bagi memastikan kestabilan Umno, katanya, memandangkan lebih dari separuh anggota Umno yang telah mengundi Ahmad Zahid sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan Timbalan Presiden Mohamad Hasan.
Mohamad, katanya, tidak pernah mempertahankan presiden ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti.
Lokman juga menyuarakan rasa dukacitanya terhadap keputusan Ahmad Zahid untuk bercuti yang menurutnya merupakan satu kemenangan besar kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Zahid malam tadi mengumumkan menyerahkan tugas jawatannya kepada timbalannya Mohamad.
Ahmad Zahid kemudian berkata beliau tidak meletak jawatan, tetapi hanya bercuti supaya Mohamad dapat menjalankan tugas itu.