Umno telah memfailkan saman terhadap wakil rakyatnya yang keluar dari parti itu.
Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru menyerahkan kuasanya kepada timbalannya Mohamad Hasan mendedahkan hal ini ketika majlis dialog dengan ahli parti di Kuala Lumpur malam ini.
"Mereka harus tahu kemenangan mereka bukan atas nama individu. Benar, mereka mewakili Umno atas lambang dan panji-panji BN yang memenangkan mereka. Bukan nama mereka.
"Atas kerja kuat orang Umno, jentera Umno dan mereka harus berterima kasih kepada Umno atas kemenangan itu. Bukan lompat untuk jaga kepentingan sendiri.
"Dalam keadaan begitu saya hendak maklumkan ibu pejabat Umno telah daftarkan writ saman tuntut ganti rugi pada 14 November lalu," katanya.
Zahid berkata saman itu menuntut sejumlah ganti rugi besar dari MP berkenaan.
"Kita akan saman semua. Bukan berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya saja... kita akan guna apa saja aspek perundangan kerana kita tuntut hutang budi kepada Umno dan jentrera Umno harus dibayar semula oleh mereka," katanya.
Umno kehilangan kuasa pada PRU14 tetapi berjaya kekal sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 54 ahli parlimen.
Walau bagaimanapun, sekarang Umno merupakan parti ketiga terbesar di belakang PKR dan DAP dengan hanya 38 MP selepas wakil rakyatnya keluar parti beramai-ramai.
Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka telah menyertai Bersatu dan seorang lagi menyertai Parti Warisan Sabah, manakala wakil rakyat lain masih bebas.