Bagaimana Pakatan Harapan (PH) mahu bekerjasama dengan Abdul Rahim Thamby Chik yang meski pun belum diterima keanggotaannya ke dalam Bersatu tetapi telah mengancam ahli gabungan itu, soal Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.
Ramkarpal mengulas kenyataan bekas ketua menteri Melaka itu yang mempertimbangkan untuk menyaman MP Kota Melaka Khoo Poay Tiong kerana mendakwa Rahim seorang pemimpin yang terpalit dengan skandal dan menggesa Bersatu menolak permohonannya.
"Rahim Thamby Chik patut berfikir dua kali sebelum mengancam untuk menyaman wakil rakyat PH kerana menyuarakan kebimbangan mengenai permohonannya ke dalam Pakatan Harapan.
"Rahim tidak perlu mengancam untuk menyaman MP Kota Melaka Khoo Poay Tiong kerana ia dapat dilihat sebagai usaha untuk menghentikan kritikan mengenai bekas pemimpin Umno menyertai PH.
"Belum diterima masuk PH, beliau sudah mengancam ahlinya. Bagaimana mahu bekerja dengan orang seperti ini?" Soal beliau dalam suatu kenyataan hari ini.
Tapisan ketas polis, SPRM
Ahad lalu, Rahim mengumumkan beliau keluar Umno dan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Bersatu.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat maklum balas ramai pihak yang tidak senang dengan perkembangan tersebut..
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata permohonan mereka yang berminat menjadi ahli parti, termasuk Rahim tertakhluk kepada proses tapisan yang ketat, melibatkan kerjasama polis dan SPRM.
Rahim, yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun, disiasat bagi dakwaan rogol berstatutori terhadap seorang individu bawah umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.
Lim Guan Eng - anggota parlimen Kota Melaka pada masa itu - dipenjara selama 18 bulan bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 kerana mempersoalkan apa yang didakwanya sebagai "tiada tindakan".
Rahim yang bekas ketua pemuda Umno memfailkan saman terhadap DAP atas tuduhan rogol berstatutori itu. Parti itu kemudian menarik balik dakwaan itu selepas mengambil kira pihak yang membuat tuduhan telah menarik balik dakwaannya.
Rahim kemudian membatalkan saman terhadap DAP. Di sebalik tuduhan itu, Rahim tidak pernah disabitkan.
Beliau juga sebahagian daripada 'trio Datuk' yang menayangkan video seks terhadap sekumpulan wartawan pada 2011.
Mereka mendakwa video itu memaparkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.