Hartawan kontroversi Jho Low mendakwa kerajaan telah menjatuhkan nilai Equanimity yang didakwa diperoleh menggunakan wang 1MDB.
Oleh itu, katanya, kapal persiaran mewah itu gagal dijual dalam pusingan pertama lelongan.
Dalam kenyataan melalui peguam hari ini, Jho Low berkata kegagalan itu menunjukkan contoh bagaimana “rejim” Dr Mahathir Mohamad mengutamakan tindakan tidak sah untuk mendapatkan manfaat politik.
“Ini adalah perhubungan awam yang gagal dari awal lagi,” kata Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho.
Katanya, selepas rampasan di Indonesia, Equanimity diletakkan di persekitaran berbahaya di Pelabuhan Klang dan dengan kawasan akses media serta orang awam yang longgar.
“...kerajaan Malaysia bertanggungjawab menjatuhkan nilainya dengan ketara,” kata Jho Low.
Kenyataan itu dikeluarkan melalui Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs, badan pelobi yang berpangkalan di Australia.
Equanimity akan dijual pada harga tidak kurang daripada AS$130 juta (RM543 juta), iaitu separuh daripada harga asalnya.
Peguam Sitpah Selvaratnam, yang mengetuai pasukan kerajaan dan 1MDB, harga itu ditetapkan selepas dinilai oleh syarikat jurunilai bebas berpangkalan di United Kingdom, Winterbothams.
Sitpah juga berkata kerajaan telah menerima perintah mahkamah untuk memasuki fasa kedua penjualan kapal mewah itu setelah fasa pertama mendapat bidaan tetapi ia tidak diterima.
Peguam itu berkata fasa kedua adalah proses penjualan normal melalui rundingan tertutup dan tarikh selesai penjualan ditetapkan pada 31 Mac tahun hadapan.