Polis mengklasifikasikan semula kes kecederaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai kes membunuh, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Ab Rashid Ab Wahab.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Muhammad Adib, 24, merupakan salah seorang anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lalu.
Bagaimanapun, dalam insiden itu, Muhammad Adib diserang perusuh menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.
Beliau menerima rawatan lanjut di Institut jantung Negara (IJN) sejak 28 Nov lalu sehingga disahkan meninggal dunia 9.41 malam tadi.
Jenazah akan diuruskan malam ini di IJN dan terus dibawa menggunakan ambulans ke kampung halaman Allahyarham di Kedah untuk dikebumikan.