Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memuji Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai anggota parlimen contoh.
Khairy yang juga menyifatkan Nurul Izzah sebagai "lawan yang berbaloi" berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai naib presiden PKR hari ini.
"Saya pasti apabila negara kita sudah bersedia untuk perubahan generasi dalam politik, Nurul Izzah akan kembali. Sangat sia-sia sekiranya beliau tidak kembali ke barisan depan politik," kata Khairy melalui Twitter.
Menjawab ciapan Khairy, Nurul Izzah berterima kasih kepada anggota parlimen Rembau itu serta menyifatkannya sebagai seseorang yang memberi inspirasi kepada kawan mahu pun lawan.
"Terima kasih @Khairykj. Saudara merupakan inspirasi kepada kawan mahu pun lawan di parlimen sejak 2008. Saya tidak dapat bayangkan politik Malaysia tanpa jejak saudara. Sokongan saya buat saudara," katanya.
Selain jawatan naib presiden PKR, awal hari ini, Nurul Izzah turut mengumumkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.
Beliau juga mengumumkan tidak lagi akan berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti.
Untuk rekod Nurul Izzah sebelum ini dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).
Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya ketika bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya mendakwa wujud kronisme dalam pelantikan pengerusi PKR negeri.
Dalam perkembangan berasingan, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini menolak pelantikan sebagai pengerusi PKR Johor dengan mendakwa proses pemilihan bagi jawatan berkenaan tidak telus.
Baca berita berkaitan:
Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR
Selepas Izzah, Hassan Karim tolak jawatan pengerusi PKR Johor
Izzah letak jawatan kerana prinsip
KJ: Izzah MP contoh, sangat sia-sia jika tak kembali ke barisan depan
Izzah tetap yakin Rafizi 'pilihan terbaik' timbalan presiden PKR
Latheefa bidas lantikan pengerusi PKR