Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Bekalan telur ayam cukup, harga turun 2 sen

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan telur ayam bagi musim perayaan ini adalah mencukupi dengan harga yang stabil.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub turut berkata pengeluar telur ayam bersetuju untuk kurangkan harga di peringkat ladang sebanyak dua sen bagi semua gred telur, bagi tujuan berkenaan.

Beliau turut berkata pengurangan tiga peratus bekalan telur ayam sebelum ini bukan disebabkan jangkitan virus Avian Influenze H5 dan H7 (selsema burung) tetapi kerana beberapa ladang terutama di Semenanjung Malaysia menghadapi masalah penyakit-penyakit yang biasa.

“Ladang ayam yang berdepan masalah kematian ayam yang tinggi sebelum ini tidak dibenarkan menjual telur sehingga siasatan dan keputusan makmal mengesahkan tiada jangkitan penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku pengurangan bekalan telur 3 peratus, namun siasatan menunjukkan ladang ayam berkenaan bebas dari jangkitan selsema burung seperti yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah kenaikan kadar tukaran wang asing iaitu dollar Amerika Syarikat berbanding Ringgit pada November turut memberi kesan kepada kenaikan harga bahan makanan ternakan yang diimport sekaligus meningkatkan kos pengeluaran telur.

“Ini memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan yang diimport seterusnya meningkatkan kos pengeluaran telur dan harga naik sebanyak lima peratus,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati memang berlaku kenaikan harga telur ayam 2 sen bagi gred C di peringkat ladang daripada 38 sen pada 28 Nov ke 40 sen pada 4 Dis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS