Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Bersatu minta polis, SPRM tapis bekas Umno
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Bersatu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti dan menapis permohonan keahlian daripada bekas pemimpin Umno, maklum presidennya, Muhyiddin Yassin.

"Jawatankuasa (tapisan) ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

"Jawatankuasa ini akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan yang diterima untuk memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga berkata Bersatu akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dan SPRM dalam melaksanakan tapisan itu.

"Bersatu akan mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan proses tapisan ini.

Permohonan Rahim Tamby Chik

"Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut setelah menerima laporan daripada jawatankuasa ini," jelasnya lagi.

Mengulas permohonan bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Tamby Chik, menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata ia tertakhluk kepada proses tapisan yag sama.

"Adalah dimaklumkan bahawa permohonan (Abdul Rahim) ini juga tertakluk kepada proses tapisan yang akan dibuat oleh jawatankuasa ini.

"Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin Umno yang menyerahkan borang permohonan keahlian telah diterima menjadi ahli secara automatik.

"Permohonan mereka hendaklah dinilai terlebih dahulu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS