Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu mendengar suara akar umbi yang mahu beliau berundur daripada jawatannya bagi membolehkan pemulihan parti berlangsung, kata pemimpin veteran parti itu.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Abdul Aziz Abdul Rahman berkata kepimpinan parti mengabaikan masalah pemimpin Umno kontroversi yang menjejaskan imej parti, sehingga menjadi punca ramai anggota keluar parti tersebut.
"Tidak ada suatu pembersihan secara menyeluruh. Saya rasa dah terlambat. Umno perlu buat muhasabah.
"Kalau kepimpinan tak secocok dengan perjuangan, mereka mesti undur diri. Dan diganti dengan orang yang tak terpalit langsung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau berkata mereka yang keluar Umno sedar suara mereka tidak didengar kerana berada di dalam parti yang berhadapan dengan masalah keyakinan orang ramai.
Abdul Aziz juga percaya terdapat pihak yang menangguk di air keruh menarik ahli Umno menyertai PH.
"Ada yang menangguk di air keruh.
"Ada tarikan tertentu - the invincible hands (tangan ghaib) - yang memainkan peranan," katanya.
Jelasnya lagi, kemasukan bekas ahli Umno ini bagi menjamin kekuatan Bersatu.
"Tun Mahathir pun tak boleh bertahan sebagai presiden dan PM sekiranya kekuatan parti dia sendiri tidak dominan. Jadi seolah-olah ada perebutan untuk tarik MP-MP Umno nak masuk PH," katanya.
Seorang lagi pemimpin veteran Umno, Mat Yasir Ikhsan turut bersetuju Zahid patut berehat tetapi Umno perlu menangani hal ini secara berhemah sebelum mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM).
"EGM ni satu keperluan tapi lepas perbincangan secara berhemah. Kita secara berhemah cakap dengan Zahid.
"Sekarang ni, macam kamu paksa into a corner. Manusia ni kalau tekan, dia akan lawan. Tak usahlah.
"Macam KJ (Khairy Jamaluddin) tu, jumpalah (Zahid) dengan rendah diri. Help him. Tell him nicely to undur. Janganlah diterjah.
"Akar umbi nak Zahid turun. Persepsi kita adalah Zahid kena rehat," kata bekas ketua Umno bahagian Sabak Bernam.