Selepas desakan demi desakan, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya bertegas untuk tidak melepaskan jawatannya selaku presiden Umno.
Beliau berkata hanya perhimpunan agung Umno yang boleh menyingkirkannya.
“Dulu desakan bercuti. Sekarang desakan letak jawatan. Yang boleh melucutkan jawatan saya hanyalah perhimpunan agung Umno sahaja.
“Ia mestilah dihadiri oleh dua per tiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan yang lalu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.
Desakan itu - antaranya oleh Pemuda Umno Alor Setar dan Pemuda Umno Sabah - selepas sejumlah pemimpin dan wakil rakyat Umno mengumumkan untuk keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan hari ini.
Bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula setuju dengan cadangan agar pemilihan semula diadakan dengan kadar segera.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata terpulang kepada ibu pejabat Umno sama ada untuk mengadakan perhimpunan agung atau tidak.
"(Dan) perlu dua pertiga daripada seluruh perwakilan. Awak tahu perwakilan ada berapa? 146,000 perwakilan. Itulah jumlahnya. Kena ada dua per tiga yang desak,” katanya seperti dipetik.
Bagaimanapun, anggaran perwakilan yang hadir ke perhimpunan agung akhir September lalu hanya 5,739.
Semalam, bekas menteri Hamzah Zainuddin - salah seorang anggota parlimen yang keluar Umno - mendakwa seramai 36 anggota parlimen BN telah menandatangani surat sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga mendakwa akan berlaku "gelombang ketiga" keluar Umno jika Ahmad Zahid tetap enggan melepaskan jawatannya.
Diminta mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata Hamzah sudah tiada hak untuk bercakap mengenai Umno.
“Dia dah keluar Umno kan? Bila dia dah keluar Umno dia tidak boleh bercakap bagi pihak Umno,” katanya.