Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Alor Setar turut mahu Zahid letak jawatan
Diterbitkan:  Dec 14, 2018 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Pemuda Umno Alor Setar hari ini turut mengambil pendirian sama seperti Pemuda Umno  Sabah yang mendesak agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai presiden parti itu.

Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai mewakili suara akar umbi parti yang semakin gelisah dengan krisis yang melanda Umno, pihaknya berpendapat tindakan itu adalah demi kelangsungan dan hala tuju parti agar terus bergerak ke hadapan.

"Kami berpendapat, Datuk Seri (Ahmad Zahid) telah gagal menunjukkan sikap kepimpinan yang tegas, karisme serta gagal menunjukkan hala tuju yang jelas tentang haluan masa hadapan parti menyebabkan anggota Parlimen dan sebahagian kepimpinan bahagian telah membawa haluan masing masing.

“Sejak dari memangku jawatan presiden sehingga dilantik menjadi presiden, tidak kelihatan apa usaha bersungguh-sungguh beliau menyuntik semangat anggota dan memperkuatkan apa fokus parti yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertimbang desakan berkenaan sekaligus memikirkan kepentingan rakyat yang masih menaruh harapan dan simpati terhadap Umno.

Rabu lepas, hampir keseluruhan barisan kepimpinan Umno Sabah termasuk lima anggota Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Hari ini, enam lagi wakil rakyat Umno dilapor meninggalkan parti.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS