Paling Popular
Terkini

Menteri agama Mujahid Yusof menafikan senarai pengharaman nama penceramah ke udara yang tular di media sosial semalam adalah daripada pejabatnya.

Katanya, pejabatnya tidak mengamalkan sekatan terhadap penceramah tertentu hanya kerana tidak sebulu, sebaliknya lebih melihat tentang kandungan yang dibawa dalam ceramah atau kuliah.

“Setahu saya, dari pejabat saya tiada arahan yang menyekat mana-mana penceramah.

“Cuma yang ada selama ini, kita menasihatikan penceramah yang hendak muncul di TV atau program kita, mesti mematuhi tiga teras yang kita perjuangkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tiga prinsip yang dimaksudkan ialah prinsip rahmatan lil alamin (Islam sebagai rahmat seluruh alam), maqasid syariah dan juga “modul Malaysia” yang menekankan realiti Malaysia tidak sama dengan negara-negara lain seperti Mesir dan Indonesia.

Dalam senarai tular itu, sepuluh nama penceramah disenarai sebagai penceramah yang tidak digalakkan untuk ke udara sama ada di TV atau radio bermula Januari tahun depan.

Sepuluh penceramah berkenaan adalah Ahmad Dasuki, Kazim Elias, Samsul Debat, Dr Riduan Tee, Abdullah Khairi, Norhafizah Muda, Azhar Idurs, Zamihan Mat Zain, PU Amin dan PU Syed.

Apabila dibangkitkan dakwaan tentang senarai itu sebagai cubaan menutup periuk nasi penceramah berkaitan, Mujahid menjawab isu itu tidak sepatutnya timbul.

“Bila cakap periuk nasi, maknanya dia menjaja agama untuk cari makan. Itu tak betul.

“Dia menyampaikan ilmu, dan tak timbul kita nak ganggu periuk nasi orang. Kalau agama, agamalah, bukan periuk nasi.

“(Malah) ada sesetengah ustaz yang (bagi kita) memberikan pandangan yang tidak baik, kita tak sekat mereka,” tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS