Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayi lelaki ditemui meninggal dunia dalam baldi
Diterbitkan:  Dec 14, 2018 7:25 AM
Dikemaskini: 11:25 PM

Seorang bayi lelaki Muhammad Arash Zahrain Osman berusia setahun dua bulan dijumpai meninggal dunia di dalam sebuah baldi di rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Arshad Abu berkata pada pukul 1.30 tengah hari tadi keluarga bayi itu datang untuk mendapatkan bantuan di Klinik Kesihatan Sungai Rambai di sini mengatakan anak mereka lemas di dalam bilik air tanpa disedari anggota keluarganya.

Beliau berkata pegawai perubatan klinik itu membuat pemeriksaan namun mendapati tiada tanda kehidupan dan tiada bantuan pernafasan awal dilakukan di rumah, seterusnya pihak klinik itu telah melakukan bantuan pernafasan selama setengah jam tetapi masih tidak berjaya menyelamatkan mangsa.

“Semasa ibu si mati berada di bahagian belakang rumah yang berhampiran bilik air telah terdengar bunyi air di dalam bilik air dibuka lalu bergegas ke bilik air dan dapati si mati telah berkeadaan terlungkup di dalam baldi dengan kedua belah kaki ke atas dan bahagian kepala di dalam baldi yang mengandungi air.

Keadaan si mati ketika itu tidak bergerak dan tiada jeritan. Ibu si mati terus mengambil dan memeluk si mati yang didapati telah kaku tidak bersuara lalu menyerahkan si mati kepada suami yang datang selepas itu,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Arshad berkata pemeriksaan secara fizikal ke atas tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang tanda kecederaan luaran, manakala tubuh badan si mati didapati bersih dan tiada kesan kecederaan lama atau baharu.

Beliau berkata setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dilakukan ke atas si mati dan siasatan awal dijalankan di bawah laporan mati mengejut.

“Mayat si mati akan dihantar ke bilik mayat hospital pakar Sultanah Fatimah, Muar Johor untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS