Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin mengesahkan gambar tular pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin Umno sebagai tulen.
Katanya, pertemuan itu berlaku pada 22 Oktober atas permintaan pemimpin-pemimpin Umno terlibat, termasuk timbalan presidennya Mohamad Hasan.
"Perdana menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.
"Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun," kata tokoh wartawan itu.
Selain Mohamad, antara yang turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas-bekas menteri Umno - Tengku Adnan Tengku Mansor, Hamzah Zainuddin, Shahidan Kassim dan Noh Omar.
Kadir juga tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang berharap sesuatu dari pertemuan dengan Mahathir itu.
"Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat.
"Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah.
"Jumpa PM perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah," katanya lagi.
Sementara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mengulang tweet gambar itu dengan kapsyen "pertemuan sekret (rahsia)".