Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TINJAUAN | Walaupun didedahkan bermasalah, keyakinan orang ramai kepada keupayaan Lembaga Tabung Haji (TH) secara umum dilihat masih tidak goyah.

Untuk melihat sendiri kecenderungan mereka Malaysiakini membuat tinjauan rambang di Kuala Lumpur semalam.

Salah seorang daripada mereka ialah suri rumah Tuan Zainab Tuan Mat yang baru mendaftar sebagai pendeposit.

Kata Tuan Zainab dia mengetahui pendedahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof beberapa hari lalu namun dia tidak menangguhkan niat untuk menjadi pendeposit.

Menurut Tuan Zainab, 51, isu pengurusan TH biarlah diselesaikan oleh pihak berwajib. Baginya TH masih boleh diyakini dan cemerlang berdasarkan cerita kenalannya yang pernah mengerjakan haji.

“Masalah itu biarlah yang pihak yang berkenaan selesaikan. Saya tetap yakin dengan TH dan insya-Allah saya nak pergi haji.

“Saya percaya sebab yang lepas-lepas semua yang pergi haji dengan TH, semuanya puji TH,"jelas Tuan Zainab.

Suaminya pula, Mohd Fauzi Wan Mohammad, 58, bagaimanapun menyimpan sedikit kebimbangan ekoran pendedahan dibuat baru-baru ini.

Tuan Zainab bersama suaminya Mohd Fauzi

Kata bekas tentera tersebut walaupun begitu dia tetap berharap keadaan TH akan dipulihkan dan buat masa ini dia berserah kepada tuhan.

‘’Bagi saya bukan isu percaya atau tak percaya. Cuma bukanlah 100 peratus yakin.

“Cuma kita kena bertawakal, percaya 100 peratus tu, tidak,” ujarnya yang turut baru membuka akaun semalam.

Yakin kerajaan bantu sungguh-sungguh

Berkongsi pandangan yang sama, seorang juruteknik bernama Amran Abdul Rahman, yang sudah menjadi pendeposit sejak 2001 lagi.

Kata Amran, 33, untuk seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji, tiada tempat lain yang lebih baik untuk menyimpan wang selain TH.

Mengenai masalah dialami TH Amran berkata dia belum mendapat gambaran jelas atau bukti yang sahih untuk mengesahkan dakwaan dibuat Mujahid.

“Tentang isu semasa tu, kita belum dapat gambaran jelas lagi macam mana ia berlaku,kan? Lagi pun tak ada gambaran jelas atau bukti lagi,” katanya.

Solehah Khidir, 25, pula berasa terkilannya apabila mengetahui TH menghadapi masalah.

Menurut guru itu, TH tidak sepatutnya menghadapi masalah seperti yang didakwa terutama kerana ia sebuah institusi yang ditubuhkan untuk menguruskan hal-ehwal ibadah Islam.


Baca Tabung Haji langgar dua syarat bayar hibah


Walaupun begitu Solehah masih yakin untuk mendaftar sebagai penyimpan kerana yakin akan ada pihak yang bersungguh-sunguh mahu menyelesaikan masalah dialami TH.

“Rasa terkilan jugak sebab institusi yang melibatkan agama sepatutnya dijaga betul-betul.

"Salah urus atau penyelewengan tak patut timbul tapi sekarang dah ada jugak, kita tak boleh nak elak.

“TH badan berkanun yang kita tahu dalam apa-apa keadaan pun mesti kerajaan jaga,” katanya.

Turut yakin kepada TH ialah kakitangan mahkamah yang hanya mahu dikenali sebagai Angah yang sudah 20 tahun menjadi pendeposit.

Kata Angah, 25, dia yakin TH akan dipulihkan dari semasa ke semasa.

"Kalau dah tak selamat macam mana masih ada orang terus menyimpan di TH?

"Buat masa ini saya masih percaya pada TH. Insya-Allah kalau kita yakin tak adalah apa-apa yang buruk berlaku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS