MIC tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Cameron Highlands, sekali gus membuka laluan supaya pilihan raya diadakan semula.
Presidennya, S Vigneswaran berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keputusan mahkamah, situasi politik semasa dan strategi parti.
"Kami memutuskan untuk merayu kepada rakyat bukannya dengan mahkamah kerana keadaan membenarkannya," kata Vigneswaran ketika dihubungi Malaysiakini.
Cameron Highlands adalah secara tradisional merupakan kerusi MIC. Ia dimenangi oleh C Sivaraajh pada pilihan raya umum pada Mei lalu dengan majoriti 567 undi.
Bagaimanapun, kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur pada November, susulan dakwaan wujud amalan rasuah semasa berkempen.
Namun Sivarraajh menafikan ada merasuah penduduk Orang Asli di kawasan itu dan berkata beliau akan membuat rayuan kepada mahkamah berhubung pembatalan kemenangannya di kerusi berkenaan.
Vigneswaran hari ini mengesahkan bahawa MIC akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kecil akan datang dan tidak perlu terlebih dahulu berunding dengan BN berhubung perkara itu.
"Kami mempunyai konsensus (dengan BN), tetapi kami akan membincangkan (senarai) calon dengan kepimpinan BN," katanya.
Ditanya apakah Sivarraajh sekali lagi akan ditugaskan untuk mempertahankan kerusi itu, beliau berkata pencalonan Sivarraajh akan dipertimbangkan.
"Pencalonan Sivarraajh akan dipertimbangkan kerana keputusan jelas mengatakan bahawa tidak ada bukti bahawa dia memberikan sebarang rasuah," kata Vigneswaran.
Akhir November lalu, mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lepas yang memberikan kemenangan kepada calon BN adalah terbatal dan tidak sah.