ULASAN | Ada sebuah kisah kecil yang perlu diceritakan di permulaan tulisan ini. Kisah tentang atuk saya dan kawan-kawannya. Berlaku pada 1980-an, ketika saya membesar. Di pekan kecil, Semerah—pekan yang memisahkan antara daerah Batu Pahat dengan Muar, di Johor.
Setiap petang, hampir tidak pernah gagal, atuk ke kopitiam untuk minum, kata orang “ngopi” di sana. Kawan-kawannya bukan sahaja Melayu, tapi juga begitu ramai kawan dari kaum Cina. Tauke kopitiam juga seorang lelaki Cina. Antara mereka, semuanya lahir sebelum merdeka.
Atuk seorang yang warak. Sepanjang ingatan saya, dia bukan sahaja tidak pernah tinggal sembahyang, tetapi setiap hari lima waktu dia ke masjid. Dari Subuh sampai Isyak. Kalau pun motosikalnya rosak, dia berjalan kaki. Termasuk ketika hujan lebat atau ribut petir. Di hari dia sakit, masih atuk bangun untuk ke masjid juga.
Bapa saya memberitahu, atuk tidak pernah mengundi Umno! Abah pernah menjadi ketua cawangan parti itu. Sudah tentu setiap kali pilihan raya, abah tahu, siapa yang mengundi BN, siapa yang tidak. Walaupun atuk terus mengundi PAS, dia tidak pernah pula pergi ke program PAS. Atuk juga tidak pernah menghalang rumahnya dijadikan bilik gerakan BN dalam beberapa kali PRU.
Atuk meninggal dunia akibat barah usus ketika saya di universiti, 1996.
Kepada generasi muda yang hidup hari ini, mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana atuk saya boleh mempunyai begitu ramai kawan-kawan Cina sedangkan dia begitu warak dan tak tinggal sembahyang, serta pengundi tegar PAS? Jawapan saya hanya satu, kerana dia tidak pernah masuk ke sekolah kebangsaan! Seperti kawan Cina yang sebaya dia, mereka bersekolah sebelum Tanah Melayu merdeka.
Maknanya, mereka tidak berada—atau terselamat—daripada sistem persekolahan yang memisah-misahkan anak sejak kecil kepada tiga jenis sekolah kebangsaan. Melayu-Bumiputera ke sekolah kebangsaan biasa, sementara kaum Cina atau India ke sekolah jenis kebangsaan mengikut kaum masing-masing. Sistem ini sudah berjalan sejak merdeka.
Hasil daripada sistem berkenaan, kaum-kaum di Malaysia semakin dipisah-pisahkan. Identiti dan kesatuan kebangsaan menjadi terbarai sepenuhnya. Orang Melayu di kampung saya, termasuk anak muda semakin ramai yang tidak mahu lagi duduk minum di kopitiam. Ada yang memberikan alasan, di kopitiam semuanya orang tua-tua, dan anak muda tidak mahu bercampur.
Alasan itu separuh benar. Di luar kopitiam sekalipun, pemisahan kaum semakin ketara. Bukti paling nyata ialah apa yang berlaku akhir-akhir ini sama ada isu kuil Hindu di Selangor sehinggalah demonstrasi Sabtu lalu di ibu negara atas nama “Icerd” yang dianjurkan oleh dua parti terbesar Melayu, Umno dan PAS. Persoalan perkauman sudah sampai ke tahap yang paling buruk apabila nampaknya rasis dilawan dengan rasis juga.
Sistem sekolah tiga aliran terbukti melahirkan warganegara yang tertanam rasa prasangka melampau antara kaum. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang untung daripada sistem pendidikan lapuk itu—yang semakin tidak sesuai lagi dengan usia Malaysia hari ini. Melayu, Cina dan India sama-sama rugi; yang untung hanyalah parti, atau politikus yang cauvanis dan perkauman sahaja.
Belum ada tanda akan diubah
Sayangnya sistem yang kejam dan gelap itu belum ada tanda akan diubah, meski dikatakan Malaysia sudah memasuki era baharu. Perubahan parti pemerintah dengan slogan “reformasi” nampaknya tidak menjadikan kemahuan mengubah sistem pendidikan untuk dijadikan tempat terbaik memupuk perpaduan antara sekalian kaum.
Apabila dibangkitkan soal bahasa kebangsaan, paling hebat sekalipun pihak kerajaan melalui menterinya akan berkata yang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memastikan murid-murid di sekolah jenis kebangsaan menguasai bahasa kebangsaan. Sekadar kenyataan umum begitu sahaja.
Tanpa kehadiran fizikal, perpaduan tidak boleh wujud. Kalaulah tanpa kehadiran fizikal setiap anak-anak kita boleh membentuk ikatan, mereka tidak perlu ke sekolah sama sekali. Cukup belajar dari rumah melalui komputer sahaja. Logik ini tidak terpakai.
Anak Melayu, Cina, India atau apa bangsa sekali pun wajar diletakkan di dalam bilik darjah dan sekolah yang sama secara fizikal! Mereka akan bersalaman setiap hari. Mereka akan mengucapkan “jumpa lagi esok” setiap kali tamat waktu sekolah. Mereka hanya perlu dipisahkan ketika waktu mata pelajaran agama dan bahasa ibunda sahaja—itu pun sudah pasti ada anak Melayu misalnya yang mahu ikut belajar di dalam kelas bahasa Mandarin atau Tamil.
Inilah reformasi paling dasar yang perlu dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar mahu mewujudkan Malaysia yang bersatu-padu. Bukan lagi hanya melalui retorik tanpa apa-apa dasar atau sistem yang konkrit.
Membuat perubahan sepenting sekolah satu aliran memerlukan dua hal terpenting. Pertama kesedaran; dan kedua, keazaman politik untuk menjayakannya.
Memang sesebuah pembaharuan tidak boleh berlaku dalam satu malam atau sekelip mata. Tidak munasabah dituntut semua sekolah menjadi sekolah satu aliran pada Januari tahun depan. Tetapi seperti kata bidalan lama: hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Sama ada hendak atau tidak, kesedaran perlu tercetus terlebih dahulu agar kerajaan Pakatan Harapan bukan hanya merupakan BN 2.0 semata-mata. Kerajaan tukar kulit sedangkan inti yang buruk dan menghancurkan kekal sama.
Selepas wujudnya kesedaran, maka langkah kedua ialah dengan menyusun gerak kerja, dan perkara terpenting ialah dengan melakukan proses konsultasi atau rundingan. Tanpa rundingan, dasar yang paling enteng seperti skim bayaran balik PTPTN pun akan mendapat tentangan, selain gagal. Anehnya, bagaimana sudah kedengaran ada pemimpin PH yang bercakap bahawa sekolah satu aliran adalah mustahil direalisasikan, waima proses rundingan pun belum bermula?
Kopitiam di pekan kecil Semerah
Di kopitiam di pekan kecil Semerah, atuk saya dan semua kawan-kawannya yang bukan Melayu bercakap dengan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu. Dalam masa sama, orang tua-tua Cina pula tidak pernah rasa kehilangan bahasa ibunda—dan mereka sangat fasih berbahasa Melayu, yang, walaupun tanpa disuruh masing-masing sedar itulah bahasa perpaduan yang membolehkan mereka mencari rezeki dan hidup aman sentosa di daerah kami.
Suasana di pekan Semerah pada 1980 dan 90-an itu juga membuatkan saya mengerti bagaimana seorang pelarian yang ke Amerika Syarikat, antara perkara pertama dilakukan ialah belajar bahasa Inggeris. Namanya Martin Greenfield. Dia seorang Yahudi yang terselamat daripada dimasukkan ke dalam kandang gas Nazi.
Umurnya ketika itu sepuluh tahun. Ibu bapa dan semua adik-beradik yang lain mati.
Selepas dibebaskan, dia memilih untuk ke Amerika Syarikat pada 1947 tanpa sesen pun wang di dalam poket. Di New Yorks, Martin mula bekerja sebagai kuli di sebuah kilang menjahit kain—dia mempunyai pengalaman berkaitan pakaian ketika berada di dalam kem tahanan Nazi. Berbekalkan pengalaman itu, Martin diberikan kerja.
Beberapa tahun kemudian Martin dinaikkan pangkat untuk menjaga 500 orang pekerja bawahan. Dia bekerja enam hari seminggu. Sehingga suatu hari, dia menebus dan membeli seluruh perusahaan berkenaan sebelum dinamakan sebagai “Martin Greenfiled Clothiers”. Sepanjang menjadi tukang jahit, syarikatnya telah membuat sut termasuk kepada beberapa presiden Amerika serta ratusan selebriti di Hollywood.
Selain mahu menjadi tukang jahit, hasrat Martin ialah mahu mendapat kewarganegaraan dan menjadi rakyat Amerika yang baik lagi berguna. Dia cukup berbangga dengan negara baharunya itu: negara dengan hanya satu bahasa—dan sekolah dengan satu aliran.
Saya tidak percaya yang rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain lebih hina daripada lelaki Yahudi itu. Kecuali parti atau pemimpim politik yang sekali lagi dengan sengaja membiarkan api perkauman terus menyala di tumit kaki masyarakat kita.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.