Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP DAP: Pelatih polis dihidang makanan rosak, guna tandas teruk
Diterbitkan:  Dec 10, 2018 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Makanan rosak, tandas tak boleh digunakan dan lif rosak merupakan antara rungutan yang diterima dua anggota parlimen DAP daripada pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendakwa lif di sejumlah bangunan di Pulapol rosak sejak dua tahun lalu, manakala lampu dan tandas dalam keadaan menyedihkan.

Beliau juga mendakwa sekurang-kurangnya tiga kes keracunan makanan berlaku tahun ini yang menyebabkan ramai pelatih perlu dirawat di hospital.

"Pembekal membekalkan ikan dan ayam yang rosak...Ini bukan kali pertama, tetapi kementerian dalam negeri (KDN) tetap menggunakan pembekal sama.

"Mengapa ini berlaku? KDN perlu beri penjelasan. Saya harap kabinet dapat melihat perkara ini. Bayangkan, ini adalah tempat kita melatih bakal ketua polis negara," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

"Jika ini (keadaan) Pulapol, bayangkan pula bagaimana keadaan di lokap polis."

Lim menegaskan beliau bukan mengkritik polis, tetapi hanya menyampaikan pandangan pegawai polis kanan yang menghubunginya berhubung perkara itu.

Pegawai di Pulapol perlu bertanggungjawab, katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kampar Thomas Su berkata kerajaan mesti menjamin kebajikan anggota polis yang menjaga keselamatan negara.

"Jika kita tak boleh menjaga polis, bagaimana kita mahu mereka menjaga negara? Ini logik mudah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS