Bermula tahun 2019, sebanyak 65 peratus kuota pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diperuntukkan untuk pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.
Kuota sasaran itu adalah bagi memberi peluang lebih besar kepada pelajar dari keluarga B40 untuk mendapatkan pendidikan lebih berkualiti.
Rina berkata, sebelum ini agar sukar mencapai kemasukan sebanyak itu daripada golongan tersebut kerana beberapa sebab, antaranya keputusan kemasukan ke MRSM yang biasanya diumumkan lewat menyukarkan proses persiapan oleh ibu bapa.
“Ketika ini (keputusan diumumkan iaitu pada Januari) banyak keluarga termasuk dari kumpulan B40 sudah sediakan persiapan seperti bayar yuran dan beli buku, jadi sukar untuk ibu bapa buat persiapan (baru) dari segi kewangan.
“Kalau kita umum (kemasukan) lebih awal, ibu bapa akan dapat buat persiapan dan perancangan mengenai persekolahan anak mereka secara lebih baik," katanya seperti dilaporkan BH.
Kini, terdapat 54 MRSM seluruh negara dengan kuota maksimum pengambilan pelajaran baru adalah pada kadar 7,760 bagi tingkatan satu dan 2,245 bagi tingkatan empat.