Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Orang miskin tak mampu tunggu tahun depan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng merangka rancangan untuk membantu golongan miskin dalam masa terdekat.

Berucap dalam majlis makan amal PH 208 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini, beliau berkata keadaan mungkin akan lebih baik pada tahun depan tetapi golongan tersebut tidak mampu untuk menunggu sehingga tempoh itu.

"Kita dengan Lim kata negara semakin pulih. Tetapi tentunya rakyat biasa belum dapat menikmati kejayaan ini (kerana) apabila menjayakan sesuatu kita tak merasai nikmatnya sehinggalah untuk suatu tempoh masa.

"Saya yakin pada 2019 rakyat akan merasa lega. Namun golongan miskin tidak dapat tunggu (sehingga tempoh itu). Mereka rasa kos sara hidup tinggi (walaupun) kita berjanji untuk memulihkan negara ini.

"Sebab itu di depan ramai ini, saya nak minta agar menteri kewangan kita bermurah hati untuk bantu golongan miskin ini yang mana wang mereka sudah dicuri kerajaan dulu. Kita tiada duit banyak, tetapi dengan sedikit kita cuba bantu," katanya.

Beliau merujuk ucapan Lim sebelum itu yang mengatakan peningkatan ekonomi negara belum dirasai kerana kejayaan negara - termasuk menarik pelaburan langsung asing - memerlukan tempoh masa untuk memperlihatkan kesannya.

Mahathir kemudian mengingatkan pemimpin PH agar mengekalkan aspirasi antirasuah jika mahu terus dipilih rakyat.

"PRU ke-15 (PH) - yang tidak akan dipimpin saya - kita akan menang juga kerana kita bersih. Tetapi kalau kita kotor dan perasuah, tak peduli siapa yang memimpin (PH) kita akan dikalahkan oleh rakyat," katanya lagi.

Dalam majlis itu, PH berjaya meraih RM1.665 juta menerusi penjualan 156 meja untuk makan malam itu.

Selain itu, sejumlah RM1.22 juta lagi diraih menerusi penjualan enam gambar potret pemimpinnya melalui bidaan.

Wan Azizah dalam ucapannya berkata majlis itu adalah iltizam PH untuk tidak menggunakan dana kerajaan dalam kegiatan politik kepartian dapat dilaksanakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS