Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usah panjangkan umur kerajaan PH, doa ulama PAS
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 5:59 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Salah seorang pemimpin kanan PAS yang diberi ruang di pentas di himpunan membantah Icerd menggunakan kesempatan itu untuk memanjatkan doa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) 'pendek umur'.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh berkata kerajaan PH hari ini tidak boleh diharap kerana tidak bertanggungjawab.

Malah katanya PH juga cuba untuk menggadaikan Islam.

“Kami menghadapi sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab di negara kami ini, ya Allah.

"Kerajaan yang cuba untuk menggadaikan agama-Mu ya Allah, kerajaan yang cuba memecah-belahkan perpaduan masyarakat Melayu ya Allah.

“[...] Jangan sekali-kali Kamu jadikan umur mereka ini panjang ya Allah. Pendekkanlah umur kerajaan PH ini ya Allah," katanya yang memimpin bacaan doa di akhir perhimpunan.

Pada waktu kemuncak himpunan Malaysiakini menganggarkan jumlah kedatangan ialah seramai kira-kira 80,000 namun ia berkurangan sedikit demi sedikit menjelang akhir apabila hari mula hujan.

Bangkit pertahan agama

Polis pula menganggarkan kehadiran himpunan hari ini seramai 55,000 orang.

Nik Zawawi yang juga anggota parlimen Pasir Puteh berkata doa berkenaan dipohon semata-mata kerana Islam.

Menurut penganjur himpunan Icerd - yang bermula jam 2 petang tadi - ialah untuk menzahirkan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan yang tidak jadi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Himpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu kebanyakannya dihadiri oleh penyokong PAS dan Umno, selain beberapa NGO Melayu.

Dalam doa tersebut, beliau turut memohon agar penyokong-penyokong yang sebelum ini mengundi PH dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu agar ‘kembali ke pangkal jalan’ untuk menjatuhkan PH.

“Jadikanlah anak-anak muda di negara kami ini akan bangkit mempertahankan agama-Mu ya Allah. Anak-anak muda yang akan menentukan corak pemerintahan negara ini ya Allah.

“Jadikanlah anak-anak muda yang sebelum ini memberi undi kepada PH, mereka kembali ke pangkal jalan ya Allah.

"Jadikanlah mereka juga yang akan menjatuhkan kerajaan yang pernah mereka pilih sebelum ini ya Allah,” pintanya lagi di dalam doa tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS