Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
S'pura tak setuju cadangan M'sia isu pertikaian perairan

Singapura tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia bagi kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan, menurut Kementerian Luar Singapura.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata Singapura "bersedia untuk membincangkan isu ini dengan Malaysia secara konstruktif dalam semangat memelihara hubungan dua hala kita yang penting."

Jurucakap Kementerian berkata, Menterinya Dr Vivian Balakrishnan memberitahu rakan sejawatannya dari Malaysia, Saifuddin Abdullah pada 5 Disember 2018, bahawa kapal-kapal Kerajaan Malaysia berulang kali menceroboh Perairan Wilayah Singapura berikutan perluasan had pelabuhan Pelabuhan Johor Bahru pada 25 Oktober, 2018.

"Kapal-kapal Kerajaan Malaysia harus segera menghentikan pencabulan provokatif terhadap kedaulatan Singapura dan kembali ke “status quo ante” sebelum 25 Oktober 2018, tanpa menjejaskan pendirian masing-masing mengenai tuntutan sempadan maritim di kawasan tersebut," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap berkenaan berkata bahawa "percubaan untuk mencipta fakta tidak menambah apa-apa kepada kes perundangan Malaysia dan tidak membantu bagi penyelesaian isu-isu sempadan laut secara baik."

Jawapan dalam masa terdekat

Kementerian juga berkata republik itu telah menerima nota diplomatik Malaysia pada 7 Disember, 2018 dan akan memberi jawapan dalam masa terdekat.

Malaysia hari ini mencadangkan agar kedua-dua negara berhenti dan menghentikan menghantar aset ke kawasan yang dipertikaikan, berkuatkuasa tengah malam ini, jam 0000 pada 8 Disember 2018, sementara menunggu perbincangan mengenai isu-isu sempadan laut yang belum selesai.

Tindakan untuk menghentikan akan diambil tanpa menjejaskan sama ada pendirian Malaysia atau Singapura mengenai tuntutan sempadan laut di kawasan yang dipersoalkan.

Malaysia juga mengemukakan agenda draf bagi mesyuarat bertujuan menyelesaikan secara baik isu sempadan laut antara kedua-dua negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong semasa lawatan rasminya ke republik itu pada 12 dan 13 November, 2018.

Kerajaan Malaysia berharap bahawa mesyuarat itu dapat diadakan sekitar pertengahan bulan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS