ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rusuhan kuil: 14 lagi direman
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini mengeluarkan perintah reman antara satu hingga empat hari terhadap 14 lagi individu untuk membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin minggu lalu.

Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman tersebut.​​​​​​​

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).​​​​​​​

Sementara itu, Mohd Ikhwan turut melanjutkan tempoh reman antara satu hingga enam hari terhadap tiga suspek bagi membantu siasatan kes sama.​​​​​​​

Kesemua suspek berusia 18 tahun hingga 40 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan jingga.

ADS

Semalam, seramai empat lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang didakwa terbabit dalam insiden itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang terlibat dalam insiden sama turut masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan didenda RM5,000 atas tiga pertuduhan gagal mematuhi arahan bersurai, mengabaikan perintah polis yang menyelia lalu lintas di sekitar kawasan kuil tersebut serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Bernama melaporkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata jumlah mereka yang ditahan berhubung insiden rusuhan itu meningkat kepada 99 orang setakat 9 pagi tadi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS