Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kesatuan sekerja bukan sekadar atur piket - Mahathir
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 1:09 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Dr Mahathir Mohamad mahu kesatuan sekerja di negara ini meluaskan peranan termasuk menjadi penghubung di antara pekerja dan majikan, bukan lagi sekadar penganjur piket mendesak majikan menunaikan permintaan mereka.

Perdana Menteri berkata ini kerana seiring perkembangan semasa, keperluan pekerja dan majikan terhadap satu sama lain juga sudah berubah dan semakin kompleks.

“Sebagai perantara di antara pekerja dan syarikat, kesatuan sekerja yang dinamik amat penting,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (Upus) ke-21, di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Berhad Datuk Mohammad Zainal Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Md Najib Syed Md Noor serta pemangku Presiden Upus Ahmad Tarmizi Taib.

"Perkara ini juga menuntut barisan kepimpinan dan pekerja berubah demi kepentingan semua apatah lagi Pos Malaysia turut memainkan peranan dalam bersama-sama membina kemajuan negara," katanya.

Dr Mahathir turut memuji Upus yang disifatkan beliau sebagai sebuah kesatuan sekerja yang dominan dan berupaya mencorakkan keharmonian dalam perhubungan dengan syarikat.

“Dalam konteks Pos Malaysia, saya difahamkan Upus ditubuhkan pada 1959, menjadikannya kesatuan tertua di Malaysia,” katanya menambah kesatuan itu mempunyai hampir 7,000 anggota.

Dr Mahathir juga menyeru perwakilan yang hadir pada persidangan itu agar mengupas dan memperhalusi isu-isu berkaitan cabaran yang dihadapi industri pos di samping melahirkan idea-idea bernas bagi menambaik industri berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi yang juga Naib Presiden Upus, berkata agenda utama persidangan ialah untuk mengukuhkan persefahaman di antara kesatuan sekerja Pos Malaysia dengan majikannya.

Beliau juga berkata dasar penswastaan yang diilhamkan Dr Mahathir semasa kali pertama menjawat jawatan perdana menteri, berjaya melahirkan pekerja berproduktiviti tinggi dan berdaya saing di Pos Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS