Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan beri surat kebenaran himpunan bantah Icerd
Diterbitkan:  Dec 4, 2018 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Polis akan memberikan surat kebenaran kepada penganjur himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang akan diadakan Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan memberikan surat itu sama ada hari ini atau esok.

"Polis akan mengeluarkan surat kebenaran untuk mengadakan perhimpunan itu, mungkin hari ini atau esok kepada penganjur yang akan adakan perhimpunan tersebut.

"Kita akan membuat pemantauan dan persiapan yang diperlukan untuk memastikan perhimpunan yang diadakan itu mengikut saluran undang-undang dan tak menimbulkan kekecohan dan masalah keselamatan.," katanya kepada pemberita pada sidang media di Cheras hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, penganjur sudah diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang, termasuk yang digariskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kelulusan diberikan selepas pegawai DBKL berjumpa polis dan agensi berkaitan lain.

Jelas Nor Hisham, himpunan itu dibenarkan berlangsung dari pukul 2 petang hingga 6 petang di Jalan Raja sahaja, iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Tiga NGO - Gerakan Pembela Ummah, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia - menyerahkan permohonan untuk mengadakan himpunan kepada DBKL pada 27 Nov lalu.

Penganjur sebelum ini memberi gambaran bahawa himpunan itu yang mendapat sokongan Umno dan PAS akan diteruskan meskipun kerajaan sudah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Jelas penganjur, himpunan itu diadakan sebagai tanda kesyukuran dan memastikan tiada lagi percubaan untuk meratifikasi konvensyen berkenaan di masa hadapan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS